SUNGAI PUYU – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengenakan tindakan tegas kepada orang ramai yang bertindak memberi makan kepada haiwan termasuk burung merpati dan gagak.
Bagi memastikan pematuhan larangan terseut, MBSP memasang dua papan tanda larangan di kawasan perumahan dekat Pangsapuri Taman Mesra dan Taman Segemal sempena program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) pada 15 Januari lalu.
Di Taman Mesra sahaja, sebanyak 215 ekor burung merpati telah berjaya ditangkap dalam operasi yang dijalankan selama satu jam bermula pukul 9.45 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai seragan burung merpati di kedua-dua kawasan berkenaan pada tahun lepas.
“Bilangan burung merpati di kedua-dua kawasan ini meningkat dalam jumlah yang membimbangkan.
“Kami mengambil maklum mengenai aduan orang ramai, tetapi untuk hapuskan burung merpati pastinya akan mengambil masa yang lama kerana sumber yang terhad.
“Selain operasi oleh pihak berkuasa tempatan, paling penting adalah peranan Masyarakat setempat.
“Kami juga menganjurkan program pada hari ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap larangan membei makanan kepada merpati yang boleh menyebabkan petambahan populasi haiwan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program tersebut.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Chong Wei Hoong; Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kesihatan MBSP, Dr. Izzat Azmeer; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru, Cheah Chin Leong dan Pengerusi MPKK Sungai Puyu, Ng Chee Chong.
Syn Tze berkata, kehadiran burung merpati boleh mengancam keselamatan dan kesihatan masyarakat terutamanya kanak-kanak.
“Kanak-kanak lebih berisiko terdedah kepada sentuhan najis merpati yang mengandungi bakteria dan virus semasa mereka bermain di taman-taman permainan.
“Oleh itu, pamasangan papan tanda larangan ini diharap dapat memastikan penduduk setempat tidak melakukan tindakan memberi makan burung merpati demi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat aduan sekiranya mendapati terdapat kesalahan memberi makan burung dilakukan di kedua-dua kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan papan tanda larangan tersebut adalah hasil usaha daripada Ahli Majlis bagi MBSP dan merupakan yang pertama di Seberang Perai.
Sementara itu, MBSP dalam kenyataan berkata bahawa perbuatan memberi makanan kepada burung merpati boleh dikenakan kompaun sehingga RM250.
Orang ramai boleh membuat aduan sekiranya mendapati terdapat pihak-pihak memberi makan burung merpati dengan menghubungi MBSP di talian 04-2696969.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP