Beri sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan demi kelangsungan pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin
img 20240622 wa0103

JAWI – Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap secara rasminya menyaksikan pertembungan satu lawan satu selepas pusat penamaan calon dekat Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini ditutup pada jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan dua calon telah berjaya mengemukakan borang penamaan calon masing-masing pada jam 10.20 pagi.

Ini bermakna calon Kerajaan Perpaduan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin akan menentang calon daripada PAS-Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Sebelum itu, Joohari diiringi barisan kepimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi.

Beliau kemudian memasuki dewan penamaan calon pada jam 9 pagi bersama-sama pencadang, Setiausaha Cabang PKR Nibong Tebal, S. Galaimani dan penyokong, Ketua Puteri Umno Pulau Pinang merangkap Ketua Puteri Umno Nibong Tebal, Ameera Nadia Mohd. Shafiee.

Hadir mengiringi Joohari ialah Pengerusi PH Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Turut serta, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengeri PKR Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying juga hadir.

img 20240622 wa0102

img 20240622 wa0105

img 20240622 wa0061

img 20240622 wa0053

img 20240622 wa0047

img 20240622 wa0108

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow menyeru agar semua pengundi yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memberikan sokongan penuh kepada calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan demi penyatuan dan kelangsungan pembangunan negeri Pulau Pinang.

Menurut beliau, di bawah Kerajaan Perpaduan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat termasuk di DUN Sungai Bakap.

“Antara yang paling ketara adalah penambahbaikan perkhidmatan bekalan air di seluruh Seberang Perai khususnya di Mukim 5 Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).

“Buktinya, baru-baru ini Modul Rawatan Air Pengapungan Udara Terlarut (DAF) di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor bernilai RM18.6 juta telah siap dibina serta mampu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan menyatakan bahawa sebanyak RM21.36 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2022 bagi melaksanakan lima projek membina dan menaik taraf infrastruktur bekalan air di Seberang Perai.

“Ini termasuk pembinaan rumah pam di Permatang Tinggi, Seberang Perai Tengah (SPT), LRA mudah alih di Taman Sungai Duri Indah serta pemasangan tangki sedutan baharu di Stesen Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley.

“Selain itu, tiga projek tambahan juga akan dilaksanakan tahun ini iaitu Pakej 12A di LRA Sungai Dua bernilai RM31 juta, pembinaan ‘LRA Kompak’ (RM4 juta) di Sungai Kerian dan penambahbaikan saluran paip di Jalan Permatang Pauh ke Jalan Kampung Bagan Serai, SPT yang dijangka dilaksanakan pada Julai ini dengan kos RM2.2 juta.

“Pada skala besar, melalui inisiatif bersama Kerajaan Perpaduan, usaha untuk menyediakan bekalan air melalui Projek Air Perak – Pulau Pinang bakal direalisasikan sekali gus menjadikan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat di negeri ini lebih terjamin khususnya di DUN Sungai Bakap,” ulasnya sambil berharap agar perjanjian bagi projek tersebut dapat dimeterai pada tahun ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata tiga perkara yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan melalui PRK Sungai Bakap.

“Pertamanya adalah untuk mencipta sejarah dengan memenangi kerusi DUN Sungai Bakap daripada parti lawan dan seterusnya mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan.

“Keduanya, untuk menyelesaikan masalah air di Sungai Bakap melalui projek Air Perai – Pulau Pinang sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ketiganya adalah menawarkan peluang kepada pengundi-pengundi di DUN Sungai Bakap untuk memilih bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri dan Pusat yang kini berfungsi dengan baik,” katanya.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Bakap, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata BN akan memerikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon PH pada PRK kali ini.

“Kita (BN) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk memastikan setiap jentera bersiap sedia dan bergerak bersama-sama dengan dokongan PH.

“Kita akan bekerja bersama-sama untuk pastikan kemenangan calon PH yang mana kita yakin beliau mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DUN Sungai Bakap,” ujarnya.

Terdahulu, kira-kira jam 8.40 pagi semua barisan kepimpinan bersama-sama lebih 3,000 penyokong Kerajaan Perpaduan mengiringi Joohari dari Bangunan Umno Nibong Tebal ke pusat penamaan calon dengan paluan gendang dan laungan Hidup Perpaduan! Reformasi!

Secara keseluruhannya, proses penamaan calon pada pagi ini berlangsung dengan aman tanpa seberang insiden yang tidak diingini.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang mewakili PAS-Perikatan Nasional pada 29 Mei lalu.

Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dengan itu menetapkan PRK Sungai Bakap pada 6 Julai (Sabtu), manakala 22 Jun (Sabtu) sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai (Selasa) dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos 2023, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS