Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru supaya rakyat negeri ini memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.
Ini kerana, katanya, masalah kesesakan jalan raya dan lalulintas adalah isu yang serius di Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri sedar bahawa inisiatif khas perlu diambil bagi memantapkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif di kedua-dua bahagian iaitu di pulau dan juga Seberang Perai ekoran tiadanya perhatian daripada Kerajaan Persekutuan dalam aspek berkaitan.
“Umumnya, Kerajaan Negeri tidak lupa terhadap keprihatinan kepada kawasan Seberang Perai. Buktinya, baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan koridor pembangunan Seberang Perai Selatan (SPS) yang merangkumi kawasan seluas 30 ribu ekar dalam sempadan bermula dari Sungai Juru di utara dan Sungai Kerian di selatan ke timur Lebuhraya Utara Selatan termasuk Batu Kawan.
“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membangunkan pelan induk infrastruktur dan pengangkutan untuk koridor ini (SPS) yang hasilnya akan memangkinkan pembangunan bidang pembuatan, perkhidmatan dan hab komersial serta kediaman untuk 300,000 orang,” katanya pada Pesta Perayaan Ponggal Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi) merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.
Sebanyak 18 badan bukan kerajaan (NGO) menyertai acara sambutan yang berlangsung di perkarangan Kuil Vinayagar, Jalan Besar di sini.
Mengulas lanjut, Guan Eng turut meluahkan kesyukuran kerana Pulau Pinang berjaya mencapai kemajuan pada tahun 2015 walaupun dilanda pelbagai masalah seperti kejatuhan ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit, skandal kewangan dan kegagalan polisi ekonomi di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang penuh yakin bahawa kemakmuran dan perpaduan rakyat dapat dicapai melalui idea-idea bernas, prinsip moral, integriti awam serta kepimpinan yang cekap, akauntabel dan telus.
“Malah, Pakatan Harapan juga berpegang teguh kepada polisi pengurusan ekonomi yang kompeten dan pertumbuhan ekonomi inklusif agar manfaatnya diperoleh semua rakyat negeri ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha memantapkan lagi sektor pelancongan, perkhidmatan, sektor pembuatan berteknologi tinggi dan potensi sumber manusia bagi kemajuan ekonomi Pulau Pinang tahun 2016.}