Beringat di jalan raya, penyelesaian bersama

Admin

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri senantiasa komited mencari penyelesaian bersama-sama Kementerian Pengangkutan serta agensi-agensi berkaitan agar rakyat beringat ketika di jalan raya, bukan sahaja demi keselamatan diri sendiri malah juga pengguna jalan raya yang lain.

 

 

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa isu keselamatan jalan raya di Pulau Pinang begitu dekat di hatinya kerana pernah dilantik sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap pengurusan lalu lintas sebelum ini.

 

 

“Berdasarkan Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia tahun 2021, kes kemalangan bagi kumpulan umur 16 hingga 20 tahun mencatatkan angka kedua tertinggi iaitu 7,131 kes berbanding lain-lain kumpulan umur.

 

 

“Baik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, perkara ini adalah perlu dipandang serius, justeru, saya amat mengalu-alukan pelbagai inisiatif serta program seperti ini diteruskan bukan sahaja di Pulau Pinang malahan seluruh negara,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah Program MyLesen B2 di sini pagi tadi.

 

 

Seramai 293 individu dari Daerah Barat Daya (DBD) menerima lesen menunggang motosikal melalui Program MyLesen B2 di bawah Kementerian Pengangkutan (MoT) yang mana majlis penyerahannya disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan Exco Kerajaan ‘Caretaker’ Pulau Pinang; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M. Jana Sanitharan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rospiagos Taha.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa setiap hari, kita dikejutkan dengan kes-kes kemalangan melibatkan anak muda, dan ada antaranya membawa maut.

 

 

“Sudah pasti, sebagai seorang pemimpin dan seorang bapa, saya berasa amat sedih dengan apa yang berlaku kerana kehilangan generasi muda yang berpotensi menjadi pewaris kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

 

 

“Oleh itu, tindakan komprehensif dan usaha keras berterusan yang telah diambil oleh JPJ dalam menangani isu penunggang motosikal di negeri ini termasuk meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan, menganjurkan program-program advokasi dan kesedaran bersama-sama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya, mengadakan ceramah-ceramah keselamatan jalan raya di sekolah serta tempat kerja, kempen kesedaran awam serta peringatan berterusan melalui saluran media sosial adalah amatlah dihargai.

 

 

“Saya menaruh harapan agar usaha ini diteruskan dengan sokongan daripada semua institut memandu untuk sentiasa mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan mengikut undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekali gus menjadikan persekitaran jalan raya di negeri ini khasnya, sentiasa kondusif dan selamat untuk semua,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Sementara itu, Siew Fook memberitahu bahawa bagi tahun 2023, seramai 9,000 individu terlibat dalam Program MyLesen B2 melibatkan keluarga dalam kalangan B40 bagi memudahkan mereka menggunakan kemudahan tersebut sebagai penggerak ekonomi keluarga.

 

 

“Justeru, pihak MoT berharap untuk tahun hadapan, peruntukan lebih banyak dapat diluluskan untuk program ini agar lebih ramai individu dapat dilesenkan melalui Program MyLesen B2 ini,” ulas Ahli Parlimen Seremban itu lanjut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Vider : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI