Berkongsi kegembiraan, komitmen Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru dipuji

Admin
img 20241015 wa0071

PERAI – Seramai 400 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan daripada pihak Jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru sempena perayaan Hari Deepavali tahun ini.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru di sini sebentar tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow berkata bahawa usaha mendekati dan berkongsi kegembiraan bersama-sama golongan kurang bernasib baik bukan sahaja mampu meringankan beban kewangan mereka, malah dapat membawa kegembiraan serta kebahagiaan ketika musim perayaan ini.

Justeru, beliau memuji usaha dan komitmen pihak Jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru yang telah mengadakan sumbangan hamper selama 16 tahun berturut-turut tanpa gagal, setiap kali menjelangnya sambutan Hari Deepavali.

img 20241015 wa0061img 20241015 wa0063img 20241015 wa0069img 20241015 wa0059img 20241015 wa0055img 20241015 wa0041img 20241015 wa0033

“Jujur, saya amat terharu dengan usaha pihak kuil dalam menganjurkan majlis ini yang bukan sahaja menjaga kebajikan khususnya golongan OKU dan kurang berkemampuan, malah sekali gus mampu mengeratkan lagi ikatan persaudaraan serta semangat muhibah sesama kita.

“Sebagai seorang Ketua Menteri, saya memahami kepentingan dan keistimewaan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum dari pelbagai latar belakang ekonomi.

“Jadi tidak mungkin kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, membiarkan pihak-pihak yang tidak berkemampuan untuk tidak menyambut perayaan, khususnya Pesta Cahaya pada tahun ini.

“Oleh itu, tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan kuil kerana telah lama berganding bahu bersama Kerajaan Negeri dalam usaha mengekalkan status negeri ini sebagai negeri berkebajikan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Presiden Kuil Sri Muniswarar, Major (K) M. Segaran; Ketua Pemegang Amanah Kuil Sri Muniswarar yang juga Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk Seri N. Gobalakrishnan serta barisan ahli jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar Jalan Baru.

Difahamkan, semua penerima sumbangan yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima hamper berupa barangan keperluan dapur yang sering digunakan untuk memasak juadah-juadah istimewa bersempena Pesta Cahaya.

Malah, pihak pengurusan kuil turut mengagihkan sumbangan baju, kasut raya serta duit raya kepada kira-kira 200 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Shan Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Batu Grace, Kulim, Kedah; Sekolah Pendidikan Khas Harapan (PEKTAS) dan Tadika Anak Emas Jaya, Perai.

Pada masa sama, Kon Yeow turut memuji inisiatif yang diambil oleh jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar untuk membina sebuah dewan serbaguna dekat Bukit Mertajam.

“Usaha ini bakal memberikan memanfaat kepada masyarakat setempat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mengadakan aktiviti-aktiviti keraian, kesukanan dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Segaran dalam ucapannya memaklumkan bahawa pihak Kuil Sri Muniswarar telah membelanjakan lebih RM150,000 bagi pemberian sumbangan sempena perayaan Deepavali pada tahun ini.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pihak Kuil Sri Muniswarar juga sedang merancang untuk membina sebuah dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang dekat Bukit Mertajam yang bakal memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Setiap tahun, pihak kuil membelanjakan kira-kira RM400,000 bagi membantu golongan memerlukan termasuk pemberian buku kepada pelajar di semua 28 buah sekolah (Tamil) di negeri ini.

“Banyak juga projek telah dirancang seperti pembinaan rumah kebajikan, pusat dialisis serta pembinaan pusat sehenti bagi upacara adat di kawasan Perai kerana belum ada kemudahaan seumpamanya di Pulau Pinang setakat ini,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS