Berlaku pelanggaran etika pentadbiran masjid antara punca nama pengerusi khariah digugurkan

SUNGAI DUA – Berlaku perlanggaran etika pentadbiran menjadi antara punca nama pengerusi khariah masjid digugurkan semasa pemilihan calon jawatankuasa kariah penggal 2023 hingga 2025 di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menjelaskan antara pelanggaran etika yang dikenal pasti adalah tidak mahu bekerjasama dengan program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menegaskan bahawa
mereka yang terlibat pernah ditegur namun ada antaranya tidak mengendahkan peringatan yang dikeluarkan pihak berkuasa agama itu.

“Selain itu, masih ramai yang mengemukakan calon melebihi had umur yang ditetapkan walaupun syarat-syarat diberikan dengan jelas semasa taklimat pemilihan.

“Kita ambil pendekatan untuk menolak calon-calon tersebut kerana mahu melatih lebih ramai belia seiring dengan pendekatan yang kita yang mahu lakukan iaitu meremajakan jawatankuasa menerusi pemilihan calon yang lebih muda.

“Justeru, pada pemilihan kali ini, kita telah membuat tapisan sebelum MAINPP membuat pelantikan dan memberi pentauliahan untuk jawatankuasa masjid,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 2,955 orang pimpinan kariah dari 197 masjid dekat Pusat Konvensyen Perda, di sini pada 13 Disember 2022.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pemilihan jawatankuasa kariah yang terdiri daripada seorang calon Pengerusi, Timbalan Pengerusi, 11 ahli jawatankuasa (AJK) dan dua pemeriksa kira-kira dibuat menerusi mesyuaray agung dan calon yang dipilih masih belum muktamad.

Katanya, nama-nama calon yang disenaraikan akan diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah untuk semakan awal dan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah (JPMHEK) untuk tapisan lanjut.

“Isu yang berbangkit ini mungkin disebabkan mereka salah faham akan peranan senarai pemilihan, mungkin mereka anggap nama yang dicalonkan akan dilantik tetapi sebenarnya tidak begitu.

“Kita sudah beri taklimat awal dan jelaskan supaya beri peluang kepada anak kariah mencalonkan nama, namun tanggungjawab memilih calon masih terletak di bawah MAINPP,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD