SUNGAI PINANG – Setelah melalui hampir tiga tahun tempoh mencabar, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bangkit semula dalam memulihkan ekonomi dan pelbagai sektor di negeri ini.
Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi adalah termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan politik.
“Namun, kita bersyukur kerana rakyat Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri bersama-sama berdepan dengan pelbagai cabaran berkaitan.
“Malah, dalam tempoh tersebut juga ada kemelut politik, tetapi kini ia (cabaran-cabaran tersebut semua) telah berlalu dan sudah tiba masanya untuk kita bangkit semula bagi tujuan pemulihan terutamanya pada aspek ekonomi serta kesihatan.
“Dalam pada itu juga, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pertubuhan-pertubuhan rakyat, industri Dan para peniaga yang telah berdiri bersama untuk memulihkan ekonomi serta bangkit semula sebagai negeri industri dan menarik pelaburan,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Masjid Al-Bukhary, Bandar Sungai Pinang di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan kepimpinan Masjid Al-Bukhary.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kon Yeow akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar) untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan tiga penjawat awam yang dipercayai berada di premis urut dalam waktu bertugas.
“Saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri buat siasatan tentang laporan ini.
“Kalau benar, ini memang kelakuan tidak dibenarkan khususnya oleh penjawat awam semasa waktu kerja,” tegasnya sambil menyatakan bahawa tempoh waktu bekerja seharusnya ditunaikan dengan kewajipan kerja-kerja yang diamanahkan dan bukannya melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS