Bersama-sama kita pastikan Pulau Pinang terus kukuh sebagai salah satu pusat industri terpenting negara – KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap penduduk di kawasan Flat Jalan Kedah dekat sini khasnya dapat terus memberikan semangat dan sokongan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata demikian sejurus menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi di kawasan berkaitan dalam Majlis Kesyukuran Sempena Bulan Ramadan Al-Kareem serta Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Belia Jalan Kedah (PBJK) di sini 2 Jun lalu.

Dalam ucapannya, Kon Yeow berkata, perjalanan beliau sebagai seorang Ketua Menteri kini bukanlah mudah.

“Tetapi sebagai permulaan, saya amat berharap penduduk di kejiranan ini (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN Padang Kota) dapat terus memberikan kerjasama, dan pada masa sama (berharap) agar persatuan atau mana-mana pertubuhan (bukan kerajaan) di sini sentiasa membawa isu dan permasalahan rakyat…sama-sama menjaga kebajikan semua rakyat.

“Lagipun, sudah lama Padang Kota tidak ‘melahirkan’ seorang Ketua Menteri selepas mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu dahulu,” selorohnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan.

Turut berucap, Pengerusi PBJK, Daud Mustaqim.

Menurut Kon Yeow, Ketua Menteri terdahulu, Lim Guan Eng telah membina suatu landasan yang kukuh untuk negeri ini terus berkembang.

“(Dan) kita (rakyat Pulau Pinang) akan memastikan ia terus kukuh sebagai salah satu pusat industri yang terpenting di negara ini.

“Pada masa sama, akan menerokai sektor-sektor baharu seperti sektor perkhidmatan perniagaan global atau GBS, pelancongan dan lain-lain yang wajar demi kesejahteraan semua rakyat di negeri ini.

“(Hal) ini termasuklah menarik kemasukan teknologi tinggi, menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan sama ada kecil mahupun besar serta menaik taraf kemudahan asas dan pengangkutan supaya rakyat dapat menikmatinya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa sejajar dengan pelantikannya sebagai Ketua Menteri, Pusat Khidmat ADUN Padang Kota dan Parlimen Tanjong akan berpindah ke suatu tempat yang akan diumumkan kelak demi kemudahan rakyat untuk berurusan.

Difahamkan, seramai 200 asnaf dan miskin serta orang kurang upaya (OKU) terpilih menerima bantuan hamper berupakan barangan keperluan asas.

Program yang memasuki tahun ke-12 penganjurannya itu juga dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.