Bersama-sama ubah sikap demi kebersihan Pasar Bukit Mertajam, seru YDP

PADANG LALANG – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud menyeru 364 pemilik gerai Pasar Awam Bukit Mertajam (BM) agar mengambil berat aspek kebersihan bagi mengelak ancaman haiwan perosak seperti tikus, lipas dan lalat.

Katanya, ancaman daripada haiwanhaiwan berkaitan dilihat mampu mengancam serta mencemar barangan jualan sekaligus mencetus kepada penyakit berbahaya kepada pengguna serta pembeli. Rozali berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Pasar Awam BM baru-baru ini, susulan tular satu video menunjukkan bahawa tikus berkeliaran di atas barangan jualan di salah satu premis.

“Hasil operasi oleh MPSP selama empat hari (11 hingga 14 Januari lalu), kita (MPSP) berjaya menangkap kira-kira 107 ekor tikus. Pada hari pertama sahaja, sebanyak 50 ekor berjaya ditangkap dan hari berikutnya ia menurun, ini menunjukkan sedikit-sebanyak populasi tikus semakin berkurang di sini.

“Namun, usaha-usaha ini adalah siasia jika peniaga sendiri tidak menjaga kebersihan premis masing-masing walaupun pelbagai usaha dilakukan MPSP seperti pengasapan dan sebagainya,” katanya pada lawatan berkaitan di sini baru-baru ini.

Rozali dalam pada itu turut mengingatkan peniaga untuk segera membersihkan sampah milik masing-masing. “Tindakan letak sampah dahulu… kemudian baru nak buang, ia mampu mengundang haiwan-haiwan perosak. Walaupun di sini memang ada pekerja MPSP yang bersihkan, namun sikap peniaga juga perlu diubah.

“Ingin juga saya nasihatkan, jika barang perniagaan itu sampai awal (lingkungan jam 2 pagi), letakkan di dalam bekas tertutup dan tidak terdedah kepada haiwan-haiwan seperti ini. Sekiranya terdedah, ianya akan mengundang bahaya kepada pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, MPSP tidak akan tergagak-agak untuk mengambil tindakan lebih keras sekiranya peniaga di sini ingkar kepada arahan ditetapkan.

“Tetapi saya rasa, tindakan kompaun itu tidak perlu kerana MPSP yakin akan perubahan sikap peniaga di sini yang mampu diterapkan dalam menjamin kebersihan Pasar Awam Bukit Mertajam (BM),” jelas beliau.