GEORGE TOWN – Seperti dijanjikan, Pulau Pinang menghadkan tempoh lantikan seorang Ketua Menteri pada dua penggal sahaja, berkuatkuasa serta-merta daripada tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
Ketika membentangkan usul pindaan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang melakar sejarah dengan menjadi negeri pertama yang melaksanakan Janji Ke-12 Manifesto Pakatan Harapan.
“Meminda perlembagaan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
“Satu lagi bukti Kerajaan Pakatan Harapan menepati segala janji-janjinya,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dalam persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pada 16 November 2018.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan, pindaan adalah pada Perkara 7 Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Katanya, perlembagaan negeri yang asal berbunyi:
“7., (2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu :-
“(a) Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Ketua Menteri untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan itu; …”
Tambah Kon Yeow, pindaan yang dibuat pada Perkara 7, Fasal (2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan menggantikan perenggan (a) seperti berikut :-
“(a) Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Ketua Menteri untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seorang ahli Dewan Undangan –
(i) yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan itu; dan
(ii) yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal; dan…”
Menurut Kon Yeow, pindaan perlembagaan negeri membawa pada seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli berkenaan pernah memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal Dewan Undangan Negeri.
Sebelum itu, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung mengambil bahagian membahaskan usul pindaan perlembagaan negeri; diikuti, M. Satees (Bagan Dalam); Mohd. Yusni Mat Piah (Penaga); Muhamad Yusoff Mohd. Noor (ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Lee Khai Loon (Machang Bubok) dan Muhammad Faiz Fadzil (Permatang Pasir).
Untuk meminda perlembagaan negeri memerlukan dua pertiga undi sokongan.
Selepas proses undian secara proses belah bahagi dibuat tiga kali berturut-turut, Yang di-Pertua Dewan, Dato’ Law Choo Kiang mengumumkan 33 ADUN menyokong usul pindaan perlembagaan itu.
Sementara tiga ADUN pembangkang lain, iaitu Muhamad Yusoff, Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan) dan Mohd. Yusni masing-masing melafazkan “tidak mengundi”.
Choo Kiang turut memberitahu bahawa empat ADUN lain, yang tidak mengambil bahagian dalam proses mengundi secara belah bahagi, masing-masing telahpun memohon cuti.
Mereka, Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar); Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (ADUN Pantai Jerejak merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP); Dr. Norlela Ariffin (Penanti) dan Mustafa Kamal Ahmad (Teluk Air Tawar).
Selepas selesai proses mengundi secara belah bahagi itu, Choo Kiang memuji komitmen semua pihak dalam meminda perlembagaan negeri pada kali ini.
Terdahulu, menjelang PRU14 lalu, Perdana Menteri Ke-7 Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah memerintah negara selama 22 tahun (1981 – 2003), yang mencadangkan jawatan seorang perdana menteri mesti dihadkan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB