BERTAM – Bandar Bertam bakal ditransformasikan sebagai ‘Smart Energy City’ melalui kerjasama antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UKM Pakarunding.
Projek perintis berkenaan bakal dibangunkan di enam lokasi terpilih iaitu di ILP Kepala Batas, Masjid Abdullah Fahim, Hospital Kepala Batas, pasar raya besar Tesco dan Mydin serta Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, program tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu mempromosikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
“Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengambil inisiatif bagi menggalakkan para pemaju dan pemilik bangunan untuk menggabungkan ciri-ciri teknologi hijau dengan strategi kecekapan serta pemuliharaan tenaga.
“Salah satu contoh strategi kecekapan tenaga serta pemuliharaan tenaga yang efektif telahpun dilaksanakan di Masjid Negeri Pulau Pinang yang mana jumlah penggunaan tenaga dan bil elektrik bulanan berjaya dikurangkan sebanyak 18 peratus.
“Justeru, strategi seterusnya adalah dengan mengadaptasikan penggunaan tenaga keterbaharuan dalam bentuk tenaga suria bagi membekalkan tenaga elektrik pada bangunan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal semasa melancarkan Program Bertam Smart Energy City, di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UKM Pakarunding, Prof. Emeritus Dr. Abdul Razak Hamdan; Pengarah SERI UKM, Prof. Datuk Dr. Kamaruzzaman Sopian; wakil Pengarah ILP Kepala Batas, Ts. Sofiuddin Mohd. Isa; Felo Penyelidik Kanan SERI UKM, Ar. Dr. Lim Chin Haw serta barisan tetamu kehormat yang lain.
Sementara itu, Chin Haw memberitahu bahawa projek tersebut merupakan yang pertama di negeri ini dan tempoh kajian mengenainya akan mengambil masa kira-kira dua tahun.
“Transformasi ini melibatkan pendekatan holistik dengan mengintegrasikan pemuliharaan tenaga, kecekapan tenaga di samping sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar.
“Justeru, kita boleh terus mengumpul, memantau, mengawal dan mengoptimumkan tenaga yang digunakan melalui satu aplikasi iaitu Energy Cloud (e-Cloud),” ujarnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD