Bertanding di Batu Kawan, Kon Yeow cakap serupa bikin

Admin

BUKIT TENGAH – Sejak ditaklifkan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya senantiasa menganggap Seberang Perai termasuk bandar baharu Batu Kawan sebagai masa depan pembangunan negeri.

Lanjutan daripada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyahut cabaran dengan bertanding di kawasan Parlimen P046 Batu Kawan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Kalau mahu jalan yang senang, saya (selaku penyandang Ahli Parlimen Tanjong) boleh memilih bertanding di Tanjong.

“Tetapi, saya cuba cakap serupa bikin, saya bertanding di Batu Kawan kerana mahu (merealisasikan) apa yang saya katakan selama ini iaitu Seberang Perai termasuk kawasan Parlimen Batu Kawan sebagai masa depan pembangunan negeri Pulau Pinang,” ujarnya dalam ceramah umum yang dilangsungkan di Kampung Sungai Sembilang, Simpang Ampat di sini pada 15 November 2022.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata hari pembuangan undi pada 19 November ini adalah ‘peluang keemasan yang kedua’ untuk rakyat sekali lagi merealisasikan agenda Selamatkan Ekonomi Malaysia, sebagaimana yang berjaya dilakukan pada pilihan raya umum lepas.

Turut berucap, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang juga calon PH bagi kawasan parlimen P111 Kota Raja, Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.