Bertimbang rasa, elak parkir kenderaan sehingga halang lalu lintas

Admin
whatsapp image 2024 05 20 at 15.12.09

KEBELAKANGAN ini, kita kerap melihat terpampang di media sosial tangkap layar yang menunjukkan pemilik kenderaan bermotor memarkir sembarangan baik di atas kaki lima ataupun di laluan pejalan kaki sehingga menyebabkan halangan serta kacau ganggu trafik kepada pengguna lain termasuk pejalan kaki.

 

Lebih memburukkan keadaan, perbuatan tersebut sukar dikawal apabila tibanya waktu puncak mahupun cuti umum dan semakin menjadi-jadi terutama di kawasan sekitar George Town.

 

Susulan itu, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung tindakan semberono segelintir individu yang dilihat sebagai mementingkan diri.

 

Dalam maklum balas, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai peruntukan undang-undang bagi menguatkuasakan kesalahan yang dilakukan oleh pemilik kenderaan yang sesuka hati memarkir kenderaan di tempat awam selain dari ruangan yang disediakan untuk memarkir kenderaan.

 

“Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) merupakan peruntukan undang-undang yang dikuat kuasa oleh semua PBT di negara ini yang mana akta ini adalah bagi tindakan ke atas pemilik kenderaan yang menghalang tempat awam.

 

“Bagi kesalahan ini, pihak MBPP akan mengambil dua jenis tindakan iaitu mengeluarkan kompaun kesalahan atau mengguna pakai peruntukan di bawah Seksyen 46 (3)(a) akta sama dengan mengalihkan kenderaan yang menyebabkan halangan di tempat awam,” sebagai memetik kenyataan MBPP baru-baru ini.

 

Berdasarkan statistik, sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 3,870 kompaun kesalahan telah dikeluarkan. Manakala, tahun 2023 sebanyak 6,761 kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang memarkir di atas kaki lima.

 

Menyentuh mengenai isu ‘menempah’ parkir secara tidak rasmi atau cup parkir awam dengan meletakkan kerusi plastik, pasu bunga, tong, kayu dan lain-lain bentuk halangan, MBPP memberitahu bahawa pihaknya mengambil tindakan sama mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

 

“Bagi tahun 2023, sebanyak 871 halangan telah dialihkan dari lot parkir awam milik MBPP dan sejak Januari hingga Mei 2024, sebanyak 243 halangan (telah dialihkan),” katanya.

img 20240520 100837
SALAH seorang penguat kuasa mengalihkan kon yang diletakkan bagi ‘menempah’ ruang parkir.

Dalam pada itu, MBPP amat berharap agar semua pihak lebih bertimbang rasa dalam menggunakan kemudahan awam demi memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya di negeri ini.

 

Bukan hanya di bahagian pulau, di Seberang Perai, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengambil tindakan penguatkuasaan sama.

 

Ahli Majlis MBSP, Heng Yeh Shiuan memaklumkan bahawa MBSP sering mengadakan tindakan penguatkuasaan secara berkala di tempat letak kereta yang diwartakan termasuk di 11 lokasi ‘panas’.

heng yeh shiuan (1)
HENG Yeh Shiuan.

Ini melibatkan kawasan di sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam, Icon City, Bandar Sunway, Kompleks Dato’ Kailan, Pusat Perniagaan Bertam Perdana, Jalan Raja Uda, Taman Selat, Bandar Perai, Taman Chai Leng dan Taman Inderawasih

 

“Kesemua kawasan ini pemantauan kerap dilakukan bagi meningkatkan tahap pematuhan seperti membayar caj tempat letak kereta, penyalahgunaan petak khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan juga isu cup parkir.

 

“Tindakan yang diambil adalah mengikut Seksyen 46, Akta 133; Seksyen 48 dan 65 akta sama serta Perintah Lalu Lintas Jalan (Letak Kereta Berkupon) MPSP 1995.

 

“(Dan) berdasarkan statistik bilangan notis yang dikeluarkan oleh MBSP adalah 1,536 bagi tahun 2023 dengan kesalahan dikompaun (4) dan tindakan menunda kenderaan (316).

 

“Manakala bagi tahun ini sehingga April, notis (767); kompaun (58) dan tunda (231),” jelasnya lanjut.

 

Pagi ini, 20 Mei 2024, melalui paparan di Facebook rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai turut memuat naik tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang memarkir sehingga menghalang lalu lintas di Relau.

 

Hon Wai yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif turut menyeru agar semua pemilik kenderaan memarkir di kawasan yang betul dan tidak menghalang lalu lintas.

 

“Saya menerima panggilan telefon daripada orang awam dan saya terpaksa meminta MBPP menunda kereta yang menghalang lalu lintas walaupun pada waktu malam atau awal pagi,” sebagai memetik paparan yang dimuat naik di Facebook.

Sekiranya memerlukan bantuan atau khidmat nasihat mengenai tempat parkir, sila hubungi :

  • Bahagian pulau – Hotline MBPP di talian 016-200 4082 atau 04-263 7000, atau;
  • Bahagian Seberang Perai – Direktorat Penguatkuasaan MBSP di talian 04-540 2581 / 582 atau melalui emel di [email protected] .

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP & MBSP