BEST diterima baik

Admin

SEBERANG PERAI – Inisiatif dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap permasalahan rakyat Pulau Pinang kini menampakkan hasil apabila perkhidmatan ‘Bridge Express Shuttle Transit’ (BEST) terus mendapat respons baik daripada golongan pekerja sejak perkhidmatan bas percuma itu dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Perkhidmatan itu disediakan khususnya bagi pekerja yang tinggal di Seberang Perai dan bekerja pada waktu pejabat di sekitar Zon Perindustrian Bayan Lepas (FIZ) di Pulau Pinang.

LIM.
LIM.

Pengurus di kilang Agilent Technologies yang hanya ingin dikenali sebagai Lim, 43, berkata, perkhidmatan tersebut berjaya mengurangkan lebih kurang 30 buah kereta di kilangnya sahaja sekaligus melancarkan pergerakan trafik terutama pada waktu puncak di sekitar kawasan Bayan Lepas dan susur keluar dari Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, selain kelancaran trafik, perkhidmatan ini dapat memupuk semangat hijau di kalangan rakyat Pulau Pinang kerana berjaya mengurangkan pembebasan gas karbon monoksida apabila sesebuah kenderaan berhenti akibat kesesakan trafik.

Servis percuma ini juga sangat efektif dan mempunyai jadual yang fleksibel kepada penggunanya”, katanya ketika ditemuramah Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

 AMUTHA.
AMUTHA.

Amutha, 26, berkata perkhidmatan ini telah mewujudkan suasana yang muhibah sesama pekerja-pekerja kilang apabila mereka dapat berkenalan dan mengetahui perkembangan dari pelbagai bidang perindustrian.

Semenjak menggunakan perkhidmatan ini, saya telah menambah banyak kenalan baru yang terdiri daripada pelbagai bidang pakar perindustrian dan ini membolehkan saya berkongsi idea serta peluang”, jelasnya yang kini bertugas sebagai seorang jurutera di kilang Mardec Polimer, Bayan Lepas.

Perkhidmatan percubaan selama enam bulan oleh Kerajaan Negeri ini bukan sahaja menarik minat golongan pekerja kilang malah turut dinikmati oleh pekerja yang bukan dari bidang perindustrian.

Yasmin Jalaluddin, 26, yang bertugas sebagai seorang Setiausaha di Metro Bersatu Sdn. Bhd. berasa amat bersyukur dengan wujudnya bas BEST dan mengharapkan perkhidmatan ini dapat disediakan secara berterusan.

Kini masa perjalanan saya lebih singkat dan fleksibel kerana bas BEST yang berpusat di Sunway Carnival memulakan perkhidmatannya seawal 5.30 pagi”, katanya yang hanya bergantung kepada perkhidmatan awam sahaja untuk ke tempat kerja.

Tambahnya lagi, kos harian pengangkutan dapat dikurangkan dengan hanya perlu mengambil satu pengangkutan awam untuk terus ke tempat kerja berbanding tiga jenis pengangkutan awam sebelum ini dari kediamannya di Bukit Mertajam.

NUR Alia Natasha.
NUR Alia Natasha.

Menurut Nur Alia Natasha, 27, perkhidmatan ini perlu menganjurkan jerayawara secara berterusan demi terus mempromosikan lagi program rakyat seperti ini oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Keselesaan bas Rapid Penang turut menggalakan penambahan pengguna bas BEST setiap hari disamping tempat letak kereta yang luas dan hanya dikenakan RM1.00 sehari di Sunway Carnival”, tambahnya yang merupakan seorang penjawat awam di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Pegawai Operasi, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang), Rofeezal Md. Hashim berkata anjuran perkhidmatan ini bersama Kerajaan Negeri dan Majlis Pengangkutan Pulau Pinang, mendapat respons positif dan maklum balas baik dari pekerja kilang.

“Secara purata perkhidmatan ini membawa sekitar 350 penumpang sehari dan ramai telah melahirkan minat untuk menggunakan perkhidmatan percuma ini khususnya selepas mengetahui perkhidmatan itu adalah selesa dan kos ekfektif disamping penyediaan wifi percuma kepada penumpang,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Bukit Jambul yang mana merupakan antara lokasi hentian bas BEST ini.

Waktu operasinya ialah dari 5.30 pagi hingga 8.10 pagi dan dari 4.30 petang hingga 7.30 malam dari Isnin hingga Jumat dengan kekerapan bas setiap 20 minit. –