BEST KOMTAR atasi kesesakan, kurang beban kakitangan awam

KETUA Menteri melepaskan bas-bas BEST KOMTAR sebagai gimik pelancaran di pusat membeli-belah Sunway Carnival sambil diperhatikan Chow Kon Yeow (kanan sekali) dan Farizan Darus (dua dari kanan) di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri melepaskan bas-bas BEST KOMTAR sebagai gimik
pelancaran di pusat membeli-belah Sunway Carnival sambil diperhatikan
Chow Kon Yeow (kanan sekali) dan Farizan Darus (dua dari kanan) di sini
baru-baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SEBERANG JAYA – Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan beban tanggungan kos logistik dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas memperkenalkan perkhidmatan bas percuma, BEST KOMTAR sejak 3 Disember lalu di sini.

Melalui perkhidmatan pergi balik dari Bandar Sunway, Seberang Jaya dan Komtar tersebut, sebanyak dua bas disediakan dalam tempoh percubaan tiga bulan dengan kos dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri sebanyak RM50,000.

Waktu operasi BEST KOMTAR adalah 6.50 pagi dari pusat membeli-belah Sunway Carnival dan dari Komtar, 5.20 petang dengan kapasiti 82 penumpang bagi setiap buah bas.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, perkhidmatan tersebut adalah khas untuk para kakitangan kerajaan yang menetap di Seberang Perai dan berkhidmat di Komtar.

“Ini adalah salah satu usaha  Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kesesakan jalanraya dan masalah letak kenderaan yang semakin padat sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang khususnya,’’ kata Kon Yeow pada sidang media khas selepas ketibaan bas-bas BEST KOMTAR di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang ( PPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail turut menyempurnakan majlis pelepasan bas-bas BEST KOMTAR di pusat membeli-belah Sunway Carnival, Seberang Jaya.

Guan Eng dalam pada itu berkata, Pulau Pinang memimpin apabila menjadi negeri pertama menyediakan kemudahan pengangkutan kepada para pekerja tanpa mengira swasta dan awam.

“Pulau Pinang memimpin kerana tak ada lagi Kerajaan Negeri lain yang buat inisiatif seperti ini.“ Ker ajaan Negeri sememangnya ‘majikan’ yang bertimbang rasa apabila menyediakan perkhidmatan bagi mengurangkan bebanan tanggungan dan tekanan kepada pekerja yang membawa kenderaan pada jarak jauh terutamanya kepada golongan wanita dan pekerja di gred bawahan,” ujarnya.

Pada Mac tahun lalu, perkhidmatan pengangkutan awam BEST (Bridge Express Shuttle Transit) secara percuma buat pertama kali diperkenalkan di Pulau Pinang dari pusat membeli-belah Sunway Carnival ke bahagian pulau melalui Jambatan Pulau Pinang.

Sebanyak RM1.18 juta subsidi telahpun ditanggung oleh Kerajaan Negeri demi kemudahkan rakyat ke tempat bekerja, terutama di Zon
Perindustrian Bebas (FIZ) dekat Bayan Lepas.