Biasiswa elak abai pelajar terpilih – KM

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD & NORSHAHIDA YUSOFF

BERTAM – Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan kebajikan pelajar terpilih supaya tidak ketinggalan dalam arus pendidikan nasional di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan Biasiswa Kecil negeri berjumlah RM1,309,680 kepada 1,758 murid terpilih.

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai tadbir urus yang baik kerana rakyatnya… macam mana baiknya sesebuah Kerajaan Negeri adalah sebaik-baik rakyatnya.

“Oleh itu, suara mereka (pelajar) perlu didengar dan harus diambilkira dalam membangunkan negeri ini,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Biasiswa Kecil Peringkat Seberang Perai di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, Saodah Nawawi (Pegawai Daerah Seberang Perai Utara) dan Amat Sazali Abu Hassan (wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri).

Guan Eng dalam majlis berasingan turut menyampaikan sumbangan serupa peringkat pulau kepada 82 penerima dari sekolah sekitar serta 95 penerima lain dari 11 sekolah sekitar Daerah Barat Daya.

Pada majlis sama, enam graduan cemerlang peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diraikan dengan pinjaman pendidikan ditukar kepada biasiswa serta masing-masing menerima ganjaran RM1,000.

Dalam pada itu, penerima, Nurain Mohdd. Nazir, 26, yang ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur kerana pinjaman pendidikan beliau telahpun ditukar menjadi biasiswa atas sebab kejayaannya mendapat kepujian kelas pertama peringkat Sarjana Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Beliau memberitahu, inisiatif tersebut serta insentif RM1,000 yang disumbangkan Kerajaan Negeri membakar semangat beliau untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) kelak.

“Saya rasa bersyukur kerana mula daripada pinjaman dan telah ditukarkan kepada biasiswa.

“Rasa cukup menghargai usaha Kerajaan Negeri, tak jangka dapat insentif daripada Kerajaan Negeri untuk mahasiswa dan mahasiswi,” ujar Nurain sambil menyatakan hasrat untuk kembali berkhidmat ke negeri ini selepas tamat pengajian kelak.