Bidang seni & ekspresi budaya sebagai tarikan baharu pelancongan di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Pulau Pinang kini mengorak langkah dalam menjadikan negeri ini sebagai hab kesenian dan kebudayaan unggul di rantau Asia.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, Pulau Pinang pasti menjadi hab yang menawarkan kepelbagaian seni dan budaya negeri ini.

 

“Kerajaan Negeri optimis dalam merealisasikan hasrat ini yang mana kita akan menyediakan pelbagai platform untuk mengetengahkan bakat anak-anak tempatan.

 

“(Dan) penganjuran Minggu Seni Pulau Pinang malam ini adalah sebagai langkah pertama ke arah menjadikan bidang seni dan ekspresi budaya sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Minggu Seni Pulau Pinang atau Penang Arts Week di Padang Kota Lama, tadi.

KETUA Menteri bersama-sama bakat-bakat muda yang menjayakan Minggu Seni Pulau Pinang 2019.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain, Konsul-konsul Jeneral dari China dan Jepun serta Konsul Kehormat Brazil.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali turut memeriahkan majlis berkenaan.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow juga menyeru semua seniman, pendidik dan mereka yang meminati bidang seni serta budaya untuk terus berkarya dan memberi inspirasi dalam mengetengahkan sesuatu karya itu.

 

“Kerajaan Negeri akan sentiasa berdiri di belakang anda dalam menyediakan platform dan peluang untuk berkarya.

 

“Malah, Kerajaan Negeri juga menyediakan sebidang tanah berkeluasan 9.2 ekar bersebelahan Gat Lebuh Macallum untuk dijadikan Penang Arts District.

 

“(Dan) ia bakal menjadi satu lagi tarikan baharu, pemangkin dalam industri kreatif dengan konsep bandar kontena lengkap taman landskap.

 

“Kerajaan Negeri percaya projek ini (Penang Arts District) akan meningkatkan nilai seni dan budaya Pulau Pinang di persada antarabangsa,” katanya.

 

Sementara itu, Soon Hin dalam ucapannya turut berhasrat mempelbagaikan program-program kesenian dan budaya yang mengetengahkan seni halus, kontemporari, moden dan tradisional.

 

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) akan menjadikan Minggu Seni Pulau Pinang sebagai program tahunan yang gilang-gemilang,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat.

 

Minggu Seni Pulau Pinang merupakan program julung kali diadakan bermula 24 Mac sehingga 31 Mac 2019.

Kumpulan Euphoria Penang membuka tirai perasmian dengan persembahan yang memukau diikuti dengan persembahan bertenaga daripada artis K-Pop, Diamond Crunch atau D-Crunch.

PERSEMBAHAN memukau daripada Euphoria Penang.

Selain persembahan seni dan ekspresi budaya, turut diadakan adalah pameran kesenian membabitkan beberapa lokasi seperti di Gurney Plaza, Gurney Paragon, Queensbay Mall dan Padang Kota Lama.

Jadi, sempena cuti sekolah ini, ayuh meriahkan Minggu Seni Pulau Pinang 2019.

Jangan lepaskan peluang, bawa anak-anak anda menerokai ‘Animal Kingdom in the City’, iaitu pameran ukiran pokok menyerupai haiwan-haiwan seperti harimau, gajah, merak dan tapir di Padang Kota Lama.

GELAGAT Ketua Menteri melayan pengunjung cilik pada pameran ‘Animal Kingdom in the City’ di Padang Kota Lama.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD