BIDS serikan Komtar

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Projek ‘George Town Business Improvement District Scheme’ (BIDS) bakal menyuntik nafas baru buat persekitaran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan menjadikannya pusat tumpuan utama dengan daya tarikan yang dinamik untuk dikunjungi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, projek bagi memajukan Komtar dan kawasan sekitarnya adalah yang pertama seumpamanya di Asia. Ianya bertujuan untuk membangunkan semula persekitaran yang melibatkan kawasan sepanjang Times Square, Jalan Dato’ Keramat,Gama, Jalan Magazines, 1st Avenue serta Prangin Mall.

“Penambahbaikan semula akan dijalankan terhadap fungsi yang sedia ada seperti pejalan kaki, mengubahsuai lanskap, membaiki kemudahan lalu lintas, menyediakan lebih banyak ruang niaga untuk para pengunjung membeli belah dengan lebih selamat dan bersih.

“Ini adalah hasil inisiatif bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ivory Times Square, Gama Supermarket & Departmental Store Sdn. Bhd. serta Heng Lee & Company Sdn. Bhd. yang bergabung di bawah BIDS,’’ katanya pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Kon Yeow menambah, BIDS mensasarkan tiga sasaran utama dalam pembangunan semula Komtar iaitu melibatkan jaringan antara bangunan, kebersihan dan juga alam sekitar serta peningkatan terhadap tahap keselamatan pengunjung.

“Diharap pelaksanaan projek yang mengambil kira bancian dan pandangan daripada orang ramai akan dapat mengembalikan semula suasana kemeriahan Komtar seperti dahulu,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Projek BIDS yang juga merupakan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan wakil daripada Think City, Neoh Khor.