Big Blue Taxi nilai tambah kepada pengangkutan awam Negeri – Lai Heng

Admin

BATU UBAN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail berharap operasi Big Blue Taxi yang baharu mula bertapak dan beroperasi di Pulau Pinang mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri.

“Dengan kehadiran Big Blue Taxi saya harap Kerajaan Negeri boleh bagi sokongan untuk beroperasi di Pulau Pinang khususnya tempat pelancongan.

“Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti mana yang dihasratkan Kerajaan Negeri, perkhidmatan teksi ini juga menggunakan aplikasi pintar.

“Saya dapati Pulau Pinang tidak macam sesetengah negeri lain, di sini mesra pemandu teksi, Kerajaan Negeri sentiasa jaga kebajikan para pemandu teksi…jadi kami bercadang untuk jumpa Ketua Menteri bagi membentangkan idea Big Blue Taxi ini yang ingin dipromosikan melalui acara lumba basikal wanita antarabangsa,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Jamuan Aidilfitri Koperasi Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Melayu Pulau Pinang dekat Tapak Pesta semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng serta Pengerusi Koperasi Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Melayu Pulau Pinang, Mohamed Yusoff S. Ibrahim.

Mengulas lanjut mengenai rancangan mempromosikan aplikasi pintar koperasi teksi berkaitan, Shamsubahrin berkata, acara lumba basikal wanita antarabangsa pertama di Malaysia yang bakal diadakan mampu mempromosikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan sekaligus memperkenalkan aplikasi berkenaan kepada pengguna.

Sementara itu, Lai Heng dalam ucapannya memberitahu bahawa, sejak tahun 2013 Kerajaan Negeri menghargai jasa pemandu teksi dengan memberikan insentif sebanyak RM600 setahun.

“Bagi kali pertama untuk tahun 2019, bayaran insentif sejumlah RM702, 600 telah diberikan kepada 2,342 orang pemandu yang layak.

“Perkhidmatan Big Blue Taxi adalah nilai tambah kepada sektor pengangkutan awam di Pulau Pinang dan melalui aplikasi pintar yang diperkenalkan khas untuk teksi sahaja, saya harap ia mampu bersaing serta menjadi pilihan penumpang di negeri ini,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI