Bil air dwi-bulanan, beri penjimatan kepada pengguna – Exco

Admin
cbb3bf81 90a5 4ac6 8abd c8c59b93bba1

GEORGE TOWN – Pengebilan secara dwi-bulan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini adalah lebih menjimatkan berbanding pengebilan yang dibuat secara bulanan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, amalan pengebilan secara prorata (prorated billing) yang diamalkan oleh PBAPP dapat memberi penjimatan kepada pengguna antara RM10 hingga RM15 mengikut penggunaan.

PBAPP telah melaksanakan analisis berkaitan dengan pengebilan yang mana mendapati jumlah bil air adalah sama atau lebih rendah apabila pengebilan dibuat secara dwi-bulanan berbanding secara bulanan.

“Malah, pengebilan secara bulanan akan memberi implikasi aliran tunai PBAPP dengan peningkatan kos operasi termasuk kos tenaga pekerja, cetakan bil dan lain-lain kos berkaitan,” ujarnya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga memaklumkan selepas pemasangan meter air pintar yang sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh PBAPP kini, pengguna boleh memilih cara pengebilan.

“PBAPP memberi opsyen kepada pengguna untuk memilih sama ada pengebilan dilakukan secara bulanan ataupun secara dua bulan sekali,” katanya.

Terdahulu, Zairil turut menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang juga ADUN Sungai Dua berhubung kenaikan tarif air.

Soalan sama turut dibangkitkan oleh ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang dengan meminta penjelasan berhubung kewajaran kenaikan tarif air.

Menjelaskan perkara tersebut, Zairil memberitahu bahawa pelarasan tarif air dengan kadar purata bagi 35 meter padu (m3 ) pada RM0.85 per m3 adalah bagi menampung keperluan operasi dan pembangunan infrastruktur bekalan air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di negeri ini.

Kenaikan tarif air baru-baru ini adalah diperlukan untuk memastikan PBAPP mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk menampung pelbagai keperluan termasuk Pelan Kontingensi Air PBAPP 2030 (WCP2030).

“Melalui WCP2030, PBAPP mengunjurkan untuk meneroka tiga sumber air mentah sekunder tambahan iaitu dari Empangan Mengkuang yang diperbesarkan (EMD); Sungai Kerian dan Sungai Perai.

“Pada masa sama, (pelan tersebut juga adalah) untuk meningkatkan kapasiti rawatan air di Seberang Perai dan kapasiti pengepaman air terawat ke bahagian pulau yang mana kos keseluruhan WCP2030 ini adalah RM1.18 bilion.

“Selain itu, projek saluran paip 1,350 milimeter baharu melintasi Sungai Perai; tambahan saluran paip 400 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran EMD ke 1,000 JLH; projek penggantian saluran paip untuk mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual dan mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) turut dilaksanakan oleh PBAPP,” jelasnya.

Mengenai jumlah subsidi air domestik yang ditanggung oleh PBAPP, Zairil memberitahu bahawa PBAPP masih terus menanggung subsidi air domestik walaupun tarif air baharu berkuat kuasa.

“Pada tahun 2023 sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh PBAPP adalah sebanyak RM116 juta,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING