Bilik Laktasi pertama untuk kakitangan kerajaan di tingkat 47

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

LIM Guan Eng (kiri sekali) beramah mesra dengan ibu-ibu yang menggunakan kemudahan Bilik Laktasi yang terletak di tingkat 47, Komtar sambil diperhatikan oleh Lydia Ong Kok Fooi (kanan sekali).
LIM Guan Eng (kiri sekali) beramah mesra dengan ibu-ibu yang menggunakan kemudahan Bilik Laktasi yang terletak di tingkat 47, Komtar sambil  diperhatikan oleh Lydia Ong Kok Fooi (kanan sekali).

GEORGE TOWN – Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Breastfeeding Friendly State’, sebuah bilik laktasi iaitu bilik menyusu dan juga bagi memberi kemudahan kepada penjawat awam bergelar ibu untuk mengepam susu telah dirasmikan di tingkat 47, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini baru-baru ini.

Bilik Laktasi hasil inisiatif khas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi adalah yang pertama diwujudkan di pejabat Kerajaan Negeri bagi kemudahan ibu-ibu (penjawat awam) bekerja.

Majlis perasmian Bilik Laktasi telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng. Penggunaan kemudahan Bilik Laktasi adalah terbuka untuk semua penjawat awam yang bergelar ibu. Waktu operasi adalah mengikut masa pejabat.

Guan Eng berkata, beliau berasa bangga dengan kewujudan kemudahan tersebut yang sekaligus membuktikan bahawa usaha Kerajaan Negeri ke arah kesaksamaan jantina ternyata utuh dan berterusan.

“Bilik laktasi ini merupakan bilik laktasi yang pertama diwujudkan dalam premis pejabat penjawat awam di Pulau Pinang. Malah, saya difahamkan bahawa ianya juga merupakan kemudahan pertama yang disediakan kepada golongan wanita khususnya penjawat awam di Malaysia,” ujar Guan Eng.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan yang lain dapat mengikut langkah murni tersebut dengan turut mengambil inisiatif mewujudkan sebuah bilik laktasi di jabatan masing-masing.

“Kita (Kerajaan Negeri) jaga dari lahir (merujuk kepada Program Anak Emas) sampai tua (merujuk kepada Program Penghargaan Warga Emas),” ujar Guan Eng.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa, Kok Fooi berkata bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM50,000 untuk tahun 2012 bagi tujuan mempromosikan kebaikan susu ibu, mengadakan bengkel, seminar dan program- program berkaitan ibu dan bayi.