Bimbang hakisan sungai ancam keselamatan penduduk, Exco harap Pusat segerakan RTB Sungai Pinang

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Hakisan yang berlaku di tebing Sungai Pinang di sini sejak kejadian bencana banjir dan ribut pada 4 dan 5 November tahun lalu semakin membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, hakisan yang semakin hari semakin luas itu bukan sahaja menjejaskan penempatan di sekitar kawasan tersebut, malah turut mengancam keselamatan mereka.

“Kita (ADUN dan penduduk di Kebun Lama) bimbang sekiranya tidak ditangani dengan segera, perkara tidak diingini akan berlaku kerana jambatan ini menjadi penghubung (antara Jalan Langkawi dan Jalan Gopeng) kepada penduduk setempat.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, kita akan meneruskan usaha melaksanakan projek-projek jangka masa pendek dan sederhana di sini (Sungai Pinang), namun paling utama adalah Kerajaan Persekutuan perlu segera menyempurnakan segera Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang sudah sekian lama tergendala.

“RTB Sungai Pinang ini mempunyai tiga fasa dan Fasa 1 telahpun disempurnakan pada tahun 1999 namun selepas itu, tidak ada apa-apa yang berlaku meskipun Kerajaan Negeri telah mengambil tanggungjawab memindahkan penduduk di kawasan berkaitan bagi membolehkan RTB ini dilaksanakan,” tegasnya kepada pemberita sejurus lawatan kerja ke Kebun Lama, Jalan Langkawi di sini 14 Januari lalu.

Turut serta, Jurutera Daerah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Nortilawati Osman serta wakil-wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Menurut Jagdeep, kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan RTB Sungai Pinang bukan sahaja mengakibatkan rakyat Pulau Pinang di kawasan sepanjang sungai berkaitan terpaksa berhadapan dengan bencana banjir, malah juga menyebabkan kesengsaraan hidup.

“Oleh itu, saya ingin menggesa Kerajaan Pusat supaya tidak melengahkan masa lagi, apakah Perdana Menteri tidak mengutamakan penyempurnaan projek-projek RTB seperti ini sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung sengsara.

“(Dan) saya difahamkan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pulau Pinang bahawa bagi RTB ini, lantikan dan perolehan akan dilakukan pada bulan ini (Januari) dan kerja-kerja di tapak akan bemula sekitar Jun atau Julai tahun ini.

“Cuma saya harapkan ia terlaksana kerana sebelum inipun sudah berkali-kali saya dengar tentang lantikan kontraktor ini,” gesanya yang berharap desas-desus perlaksanaan RTB Sungai Pinang dapat direalisasikan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut meminta supaya Kerajaan Persekutuan segera menyalurkan bantuan kewangan bencana kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas dalam kejadian 4 dan 5 November lalu.

“Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang masih menunggu dengan penuh harapan bantuan banjir daripada Kerajaan Persekutuan, bukan sahaja meluluskan RTB Sungai Pinang sebanyak RM1 bilion, tetapi juga bantuan kewangan RM500 kepada setiap mangsa banjir di negeri ini.

“Hal ini kerana, Kerajaan Negeri telahpun menyalurkan RM38.8 juta kepada 60,983 mangsa banjir yang terjejas dalam kejadian 15 September serta 4 dan 5 November lalu termasuk mengumumkan fasa kedua pembayaran bantuan RM700 secara one-off yang pendaftarannya berakhir pada 31 Januari 2018,” jelasnya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan.