PELAKSANAAN semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 12 Mei 2021 ekoran peningkatan kes baru jangkitan COVID-19 dilihat memberi kesan kepada kehidupan pelbagai pihak terutamanya golongan peniaga kecil.
Rata-rata peniaga kecil yang ditemui Buletin Mutiara di sekitar Seberang Jaya meluahkan kebimbangan mengenai risiko ‘gulung tikar’ yang terpaksa dihadapi mereka sekiranya PKP dilaksanakan secara berterusan.
Bagi HAIRI AHMAD, 55, memberitahu bahawa hasil jualan perniagaan pakaian beliau merosot sehingga 70 peratus selepas kerajaan melaksanakan PKP pada Mac 2020 dan diikuti PKP 2.0 pada Januari 2021 serta PKP 3.0 kini.
Beliau berkata, keadaan tersebut jika berterusan dibimbangi akan menyebabkan perniagaan yang diusahakan bersama isteri, AZIZAH ZAIN, 55 sejak beberapa tahun lalu terpaksa ditutup memandangkan hasil jualan sangat sedikit.
“Setiap kali kerajaan laksanakan PKP, peniaga kecil seperti kami memang begitu terkesan kerana pendapatan kami akan merosot akibat kekurangan pelanggan.
“Kita faham bahawa pelaksanaan PKP ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat tetapi sekiranya keadaan ini berterusan akan menjejaskan kehidupan rakyat susah terutamanya mereka yang mengharapkan pendapatan harian.
“Perkara yang kita bimbang adalah walaupun rakyat selamat daripada jangkitan COVID-19 tetapi mereka memilih berputus asa untuk hidup dek kerana tekanan akibat diberhentikan kerja, hilang pendapatan dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Lebih mengejutkan adalah mengenai pendedahan Hairi bahawa ada dalam kalangan rakan-rakannya yang turut menjalankan perniagaan kecil terpaksa meminjam dengan ‘ah long’ demi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.
“Bukan mereka tidak pernah cuba meminjam dengan bank tetapi pelbagai syarat yang ditetapkan (pihak bank) menyebabkan kebanyakannya sukar untuk mendapatkan pinjaman.
“Sebagai peniaga, kami terpaksa hadapi walau apapun keadaan untuk memastikan perniagaan kami tetap berjalan kerana ini sahaja punca pendapatan yang kami ada,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menilai semula pelaksanaan PKP 3.0 yang dilihat kurang berkesan dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini berbanding PKP 1.0 pada Mac tahun lepas.
“Kita faham apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kepentingan kita semua tetapi kita minta supaya PKP 3.0 ini diperketatkan lagi agar pelaksanaannya lebih efektif dan dapat menghentikan penularan COVID-19.
“Sebagai rakyat, kita sanggup berkorban demi keselamatan bersama dengan syarat semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terpakai kepada semua tanpa ada ‘double standard’.
“Pelaksanaan PKP 1.0 yang ternyata efektif dalam membendung penularan pandemik sepatutnya dijadikan garis panduan dalam pelaksanaan PKP kali ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hairi turut menggesa agar kerajaan mengambil langkah berani dengan menutup mana-mana kilang atau tapak binaan yang mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi termasuk di Pulau Pinang.
“Suka atau tidak kerajaan perlu melaksanakan suatu keputusan yang tegas demi keselamatan dan kelangsungan hidup semua pihak.
“Oleh itu, saya mohon agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih tegas menyuarakan pandangan berkaitan SOP bagi sektor perkilangan yang dilihat menjadi penyumbang utama peningkatan kes baru COVID-19 di negeri ini,” cadangnya lagi.
Nada sama diluahkan oleh seorang lagi peniaga, IDRIS KASSIM, 62 yang berpendapat bahawa pelaksanaan PKP lebih ketat sebagaimana Mac tahun lepas diperlukan sekiranya kerajaan berhasrat untuk memutuskan penularan COVID-19.
“Lebih baik kerajaan buat semula PKP sepertimana tahun lepas selama sebulan dan buka semula aktiviti ekonomi dan sosial secara berperingkat.
“Kalau diteliti semula, semasa pelaksanaan PKP 2.0 sebelum ini kerajaan dilihat terlalu awal membenarkan aktiviti sosial menyebabkan kes baru COVID-19 meningkat semula dengan mendadak,” katanya ketika ditemui dekat Pasar Awam Seberang Jaya pagi tadi.
Ditanya mengenai keadaan perniagaannya kini, Idris memaklumkan bahawa sebagaimana mereka yang lain, hasil jualan nasi lemak yang diusahakan beliau juga turut merosot sehingga 50 peratus selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0.
“Pelanggan sangat kurang sekarang terutamanya pada hari bekerja dan kami hanya bergantung kepada mereka yang mengunjungi pasar awam ini.
“Sekarang kami masih mampu bertahan tetapi jika berterusan mungkin kebanyakan peniaga terpaksa menutup perniagaan akibat kekurangan modal,” jelasnya lagi.
Hanya mahu dikenali sebagai THANGAM, 69, yang menjalankan perniagaan barangan runcit turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar melaksanakan PKP lebih ketat supaya kes baru jangkitan COVID-19 dapat diturunkan dalam kadar segera.
Katanya, keadaan PKP berterusan yang dilaksanakan kini akan menyebabkan perniagaan kecil dan sederhana menerima impak yang lebih buruk berbanding sebelum ini.
“Walaupun kerajaan tidak mahu tutup sektor ekonomi sepenuhnya tetapi mungkin boleh perketatkan daripada segi pergerakan orang awam.
“Mungkin kerajaan boleh tetapkan bahawa kanak-kanak berumur kurang 12 tahun tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis awam dan menutup pasar raya yang menjadi tumpuan ramai,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, RASHIDAH AHMAD ALI, 55, pula menyokong pelaksanaan PKP 3.0 yang lebih longgar kerana dapat memberi peluang kepada para peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing.
“Semasa pelaksanaan PKP 1.0 dulu, saya langsung tidak berniaga kerana SOP yang begitu ketat tapi sekarang perniagaan saya masih boleh berjalan walaupun dalam tempoh PKP.
“Tambahan pula, pelaksanaan PKP 1.0 sebelum ini diiringi dengan bantuan kerajaan yang mana walaupun tidak mencukupi tetapi dapat sedikit sebanyak membantu para peniaga.
“(Dan) sekiaranya pelaksanaan PKP lebih ketat seperti tahun lepas tanpa apa-apa bantuan daripada kerajaan, mungkin kebanyakan peniaga tidak mampu lagi untuk bertahan,” katanya.
Justeru, beliau menasihati orang awam agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan semasa melaksanakan urusan jual beli demi membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.
“Kebanyakan peniaga di sini dilihat begitu komited dalam aspek pematuhan SOP yang ditetapkan dan kita harap orang awam juga dapat melakukan perkara yang sama,” serunya lagi.
Sementara itu, ANG KOCK LIONG, 54, pula memberitahu bahawa perniagaan makanan berasaskan sayuran (vegetarian) dan jualan akhbar merosot hampir 20 peratus selepas pelaksanaan PKP.
“Walaupun pelaksanaan PKP menjejaskan perniagaan kami, tetapi ia perlu diteruskan sehingga jangkitan kes baru COVID-19 menurun dan negeri Pulau Pinang kembali menjadi zon hijau sepertimana yang dicapai pada tahun lepas,” ujarnya ringkas.
Oleh : SUNARTI YUSOF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD