GEORGE TOWN – Kemungkinan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru bakal dibina di Pulau Pinang dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, memandangkan Kerajaan Persekutuan ada berbincang lanjut isu berbangkit tersebut dengan syarikat penerbangan AirAsia.
Mengulas lanjut, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, projek penarafan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta, memandangkan Kerajaan Persekutuan hari ini tidak mempunyai cukup dana untuk membina LCCT berhampiran tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sedia ada di Bayan Lepas.
“Justeru, kami (Kerajaan Pusat) terpaksa mencari cara baru (iaitu) bekerjasama dengan pihak swasta seperti AirAsia, bagi melaksanakan projek pembesaran dalam masa terdekat, dan pada masa sama membina LCCT baru.
“Kami sedang mempertimbang projek memperbesar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dengan model yang sama (iaitu Projek Perkongsian Awam – Swasta, PPPP),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di kafeteria Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada petang 6 Ogos 2018 di sini.
Sebelum itu, Guan Eng menyentuh mengenai penangguhan projek pembesaran PIA, ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, dalam persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14.
Dalam persidangan Dewan, Guan Eng memberitahu, lambakan 7.1 juta pengunjung ke PIA kini adalah melebihi kapasiti yang sepatutnya iaitu 6.5 juta orang.
Difahamkan, PIA diperbesarkan pada tahun 2012 untuk menampung kapasiti 6.5 juta penumpang yang dijangka dicapai pada 2020 nanti.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, Kerajaan Negeri mendesak lagi Kerajaan Pusat untuk memperbesarkan PIA untuk 15 juta kapasiti pengunjung.
Namun, menjawab soalan wartawan tadi, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini tiada peruntukan untuk melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang sedia ada tersebut.
Lanjutan itu, beliau berkata, pihaknya menjelaskan cadangan pembinaan LCCT akan berkongsi landasan sama dengan PIA.
“Untuk pembesaran PIA dan pemajuan LCCT, kami mahu pembida datang dan membayar dengan kos mereka sendiri.
“Kami telah berbincang dengan AirAsia serta Malaysia Airline Holdings Berhad (MAHB), dan mendapat maklum balas positif, ia akan menjadi Projek Perkongsian Awam – Swasta.
“Tapi, sebelum apa-apa, kami ingin menunggu hasil perbincangan ini terlebih dahulu.
“LCCT boleh dibina dengan lebih segera, dalam satu atau dua tahun, bagi terminal utama PIA mungkin ia mengambil mengambil masa lebih lama.
“Yang menjadi perhatian sekarang adalah apabila kita memperbesarkan (lapangan terbang), kita mesti mendapatkan balik duit yang digunakan untuk pembesaran lapangan terbang, dengan jumlah pengunjung (yang dianggarkan) ke lapangan terbang itu kelak,” ujar Guan Eng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MD. RADZI
Video : ALVIE CHENG