Bina paip lencong sementara atas Sungai Perai siap 50 peratus

d566f8e2 2982 46df 8672 748d6ed00f61 KETUA Menteri (empat dari kiri) dengan diiringi Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari (dua dari kiri) diberi taklimat ringkas oleh K. Pathmanathan (tiga dari kiri) mengenai kerja-kerja kejuruteraan projek pembinaan dua paip lencong sementara dekat pinggir Sungai Perai di sini pada 20 Januari 2024.

SEBERANG JAYA – Projek pembinaan dua paip lencong sementara berdiameter 600 milimeter (mm) merentasi atas Sungai Perai yang sedang dilaksanakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sejak 13 Januari lepas mencapai 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2 Februari 2024.

d286735b f2ba 4c09 9378 9ebb9bf2d587
KETUA Menteri (tengah, depan) dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 24 Januari ini akan menetapkan masa pelaksaaan rancangan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) sekali lagi untuk kerja-kerja akhir penyambungan paip lencong sementara dengan paip sedia ada di sini.

“Sehingga semua paip (lencong sementara) sudah dipasang, kerja paling mencabar dan penting adalah melakukan penyambungan paip alir (air) sedia ada dengan paip yang baharu, kerana paip (bawah dasar sungai yang telah bocor beberapa kali sebelum ini) tidak akan digunakan lagi.

“Kerja-kerja penyambungan di kedua-dua belah (di pinggir Sungai Perai) ini akan mengambil masa selama 16 jam, selepas itu baru bermula proses pemulihan air.

“Kita akan memilih hari hujung minggu… sebelum Tahun Baru Cina (10 Februari 2024)… untuk melaksanakan (rancangan) gangguan bekalan air berjadual ini nanti,” jelasnya seusai melawat tapak pemajuan projek cegah rintang tersebut dekat Jambatan Ampang Jajar di sini pada 20 Januari 2024.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, paip lencong sementara ini akan digunakan dalam tempoh enam hingga lapan bulan sahaja, sementara projek pembinaan paip kekal berdiameter 1,350mm merentasi atas Sungai Perai siap kelak.

5b0fd4a7 0c8d 4a2f baab 72e78194d4bc
K. Pathmanathan

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan pula memberitahu bahawa pihaknya akan mengeluarkan notis awal SWSI selepas mendapat kebenaran Mesyuarat Exco kelak.

“Kawasan hujung paip agihan (EoL) sekitar Daerah Barat Daya seperti Relau, Sunway Cassia dekat Batu Maung dan Balik Pulau akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

“Selain kawasan-kawasan itu (iaitu ketiga-tiga Daerah Seberang Perai dan Daerah Timur Laut) tidak perlu risau,” ulasnya lanjut.

Menurut beliau lagi, kerja-kerja pembinaan paip lencong sementara tersebut menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, sementara kos pembinaan paip kekal merentasi atas Sungai Perai itu nanti menelan kos kira-kira RM5 juta.

Difahamkan, paip sedia ada di bawah dasar Sungai Perai boleh mengagihkan air pada kapasiti 14,500 meter padu; tekanan air diturunkan pada 12,500 meter padu ekoran beberapa bahagian paip bocor sebelum ini.

Kebocoran terbaru pada paip tersebut baru-baru ini mendorong PBAPP menurunkan lagi tekanan air paip sedia ada pada 6,300 meter padu.

Sehubungan itu, Pathmanathan menyatakan bahawa sekalian pengguna terutama di Daerah Barat Daya ketika ini masih mendapat akses air bersih dalam tekanan rendah, sehinggalah tempoh SWSI diumumkan kelak.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) kerana membenarkan paip lencong sementara ini dipasangkan dekat Jambatan Ampang Jajar di sini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP turut akan melaksanakan tiga projek pembinaan paip kekal lain bagi menggantikan saluran paip sedia ada di dasar sungai, sejurus siap kajian rekabentuk berwajib nanti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD