Bina paip rentas atas Sungai Perai bantu PBAPP kawal NWR, respons pakar

img 7270 CHAN Ngai Weng

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) wajar menaik taraf infrastruktur berkaitan air jika mahu bekalan sumber itu terus mapan pada masa hadapan.

Pakar bidang pengurusan hidrologi, sumber air dan bencana dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Chan Ngai Weng berkata langkah itu juga dapat membantu Pulau Pinang mengawal risiko lebih banyak kehilangan air ketara (NWR) setiap hari di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden paip sedia ada dan lama di dasar Sungai Perai yang beberapa kali bocor sebelum ini serta masih digunakan pada tekanan rendah, sementara projek pembinaan dua paip lencong sementara berdiameter 600 milimeter (mm) merentasi atas sungai itu siap kelak.

Difahamkan, projek pembinaan paip lencong sementara itu mula dilaksanakan semalam, dengan sasaran siap dalam tempoh paling lama selama 21 hari.

“Projek pembinaan paip baharu yang merentasi atas Sungai Perai mesti disegerakan oleh pihak berkuasa air negeri.

“PBA dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mesti menaik taraf infrastruktur air (yang mana) paip bawah dasar Sungai Perai hendaklah diganti dengan paip baharu di darat,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB ketika dihubungi pada 16 Disember 2024.

Bagi mengawal NRW pula, beliau berkata adalah tidak memadai hanya dengan menaik taraf sistem paip sedia ada, melainkan mesti dilengkapkan dengan kemudahan pengesanan berkomputer pada risiko kebocoran serta sistem responsif manusia yang lebih efisien.

Di samping itu, beliau berpendapat bahawa permohonan PBAPP supaya tarif air negeri disemak adalah wajar sebagai langkah pemulihan kos berkaitan pembangunan infrastruktur serta pengeluaran bekalan itu supaya terus mapan pada masa hadapan.

Menganggap jaminan keselamatan bekalan air adalah isu global serta bukan sahaja didepani di Pulau Pinang, beliau berkata rakyat tempatan sewajarnya ‘sanggup membayar’ bagi mendapatkan perkhidmatan bekalan air terbaik daripada PBAPP.

“Jika seseorang tidak sanggup membayar sedikit kenaikan tarif air, tetapi mahukan air berkualiti 24 jam atau tujuh hari seminggu dan tidak mahu menanggung sebarang risiko gangguan bekalan air, maka lebih baik mereka sedar dengan realiti ini.

“Bekalan air adalah isu global yang serius yang menjejaskan hampir semua negara yang mana pemotongan air adalah perkara biasa dan selalunya tidak dapat dielakkan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Pulau Pinang yang menghadapi rancangan gangguan bekalan air berjadual mulai 10 hingga 14 Januari baru-baru ini sewajarnya rasa bertuah kerana proses pemilihan dilaksanakan dalam tempoh begitu singkat.

Sebagai inisiatif PBAPP dalam melaksanakan projek pengukuhan jaminan bekalan air negeri, beliau berkata setiap pengguna di Pulau Pinang juga seharusnya menaik taraf sistem perbekalan air di premis masing-masing.

Beliau mencadangkan pengguna Pulau Pinang melaksanakan beberapa perkara, iaitu:-

• Pasang tangki air tambahan dan sistem penuaian hujan.

• Pasang sistem penuaian hujan yang mana air hujan yang dituai boleh digunakan untuk mencuci, menyiram dan berkebun.

• Simpan air dalam tangki dan bekas besar untuk digunakan semasa gangguan.

• Beli dan simpan air minuman berbotol secukupnya dan lain-lain.

img 7271
ABAS Abd Jali

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ACGL Group, Abas Abd. Jalil pula, gangguan bekalan air berjadual yang terpaksa didepani oleh pengguna termasuk pemegang taruh berkaitan sektor perniagaan dan pelaburan baru-baru ini sepatutnya mendorong Putrajaya melaksanakan pelan berwajib demi menjamin keselamatan air negara pada masa hadapan.

Itu, katanya lagi, termasuk langkah proaktif daripada kementerian berkaitan yang menjadi ‘orang tengah’ dalam perundingan dengan melibatkan beberapa Kerajaan Negeri bagi merealisasikan Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Empat hari berturut-turut gangguan bekalan air di seluruh negeri sepatutnya tidak dibuat, terdapat kerugian ekonomi terutamanya berkaitan sektor perhotelan, perindustrian serta perniagaan minuman dan minuman (F&B).

“Contohnya, kilang-kilang yang banyak menggunakan air bagi sesuatu proses pembuatan produk terpaksa mengurangkan jam operasi produksi atau menghentikan sementara, begitu juga sektor hotel terpaksa mengurangkan kapasiti jumlah bilik yg dijual dalam tempoh gangguan bekalan air baru-baru ini,” jelas perunding firma perniagaan itu.

Dari segi lain pula, beliau berkata semua pihak berkenaan sewajarnya mempertimbang syor meletakkan soal pembangunan sumber mentah air yang sebelum ini di bawah Pihak BerKuasa Negeri, kepada Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan akta ala Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Setakat ini akta boleh dicadangkan, tetapi semua sumber alam serta mineral (termasuk sungai) di dalam sepadan negara terletak di bawah Pejabat Tanah & Galian (kuasa negeri).

“Semua mineral termasuk emas, hanya petroleum sahaja ‘istimewa’ (berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, 1974)…itu pun perjanjian royalti seakan-akan tidak dihormati oleh pihak berkenaan.

“Mungkin susah untuk pinda akta, tetapi perlu ada kelolaan oleh Kerajaan Persekutuan (dalam sesi rundingan) antara Kerajaann Negeri… amat penting.

“Contohnya, keselamatan jaminan bekalan air adalah penting untuk negara baik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahupun Putrajaya hatta ‘negeri industri’ penting seperti Pulau Pinang

“Proses perundingan yang Kerajaan Persekutuan perlu ketuai ini mesti serta perlu melangkaui semangat kenegerian,” jelasnya.

Selain usaha Kerajaan Negeri dan PBAPP memperbaiki infrastruktur industri air negeri supaya kian mapan, beliau berkata Putrajaya wajar mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan aspek keselamatan sumber air negara.

END