Bina semula TPS Pantai Mas Batu Ferringhi siap, sedia terima kemasukan peniaga

Admin
photo 2025 03 03 12 26 02

TANJUNG BUNGA – Kompleks Tapak Penjaja Sementara (TPS) Pantai Mas Batu Feringghi yang dibangunkan semula selepas tragedi kebakaran pada 28 Julai 2024 siap dirasmikan untuk menerima kemasukan semula para peniaga.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, pembangunan semula TPS tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan sahaja.

photo 2025 03 03 12 26 38

“Pembinaan TPS Pantai Mas melibatkan pembinaan 30 unit tapak penjaja melibatkan 24 unit bagi jenis jualan barang am dan enam lagi bagi jenis jualan makanan dan minuman.

photo 2025 03 03 12 26 05

“Projek ini disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat bulan pada 13 Februari 2025 dengan peruntukan RM419,279.

“Walaupun tapak ini bersifat sementara, pihak MBPP tetap membuat perancangan teliti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan peniaga serta pengunjung.

“Ini termasuk menyediakan lampu dan kipas dalam kawasan tapak penjaja,’’ ujarnya pada Majlis Perasmian TPS Pantai Mas, Batu Feringghi di sini pagi tadi.

Hadir menyempurnakan perasmian tersebut ialah  Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason Hng Mooi Lye dengan ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga merangkap Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta Ahli-ahli Majlis MBPP antara yang turut serta dalam majlis berkaitan.

 

Difahamkan, antara skop kerja bagi pembangunan semula tersebut adalah membina bangunan berstruktur besi dengan bumbung metal deck; cladding metal deck dan gutter; lantai konkrit; pagar besi; pemasangan lampu dan kipas serta bekalan air, sinki dan perangkap minyak.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN