BJCC kini bertaraf kelab golf dunia

PARA jemputan dibawa bersiar-siar di sekitar PGC bersempena majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.
PARA jemputan dibawa bersiar-siar di sekitar PGC bersempena majlis pelancarannya
di sini baru-baru ini.

 

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Cabaran berani sebuah syarikat Jepun, Taiyo Resort (Pg) Berhad (Taiyo Resort) melaburkan RM11 juta bagimenjenamakan semula Bukit Jambul Country Club (BJCC) kepada Penang Golf Club (PGC) berjaya memartabatkannya sebagai sebuah kelab golf perdana bertaraf dunia di negeri ini.

Selain landskap dan peralatan sedia ada, inisiatif pengubahsuaian padang golf dengan 18 lubang utama telah menjadikan PGC sebagai satu-satunya pusat golf yang memiliki keunikan tersebut di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau berbangga dengan Pengerusi yang juga pemilik Taiyo Resort, Datuk EiroSakamoto kerana mengambil cabaran dan langkah berani menjenamakan semula BJCC kepada sebuah padang golf bertaraf premier di Pulau Pinang.

“Kita (Pulau Pinang) harus berbangga, kerana ini adalah kelab golf perdana yang mempunyai 18 lubang di pulau ini. Usaha ini sedikit sebanyak dilihat dapat membantu dan memperkenalkan Pulau Pinang di mata dunia,” ujarnya pada Majlis Pelancaran PGC di sini baru-baru ini.

Taiyo Resort yang dipilih melalui tender kompetitif telah membelanjakan sejumlah RM2.5 juta untuk membeli bugi golf dan baki RM8.5 juta bagi menaiktaraf kursus serta kelab dengan nilai keseluruhan pelaburan sepanjang 20 tahun sebanyak RM80 juta.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri percaya dengan memberikan tanggungjawab kepada pakar melaksanakannya, Pulau Pinang akan terus maju ke hadapan.

“Kita bukan hanya perlu memilih individu yang layak tetapi adalah lebih penting memilih mereka yang pakar dalam bidangnya. Ini akan menjadikan Pulau Pinang lebih maju ke hadapan,” tegas Guan Eng.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Datuk Rosli Jaafar, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan.