BKIP 3 bakal jana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi

whatsapp image 2024 02 29 at 2.34.12 pm

BAYAN LEPAS – Pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) akan memastikan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dapat dijana sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata ini kerana projek yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu dapat memacu potensi Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan syarikat-syarikat tempatan mahupun antarabangsa.

“Oleh itu, sejajar dengan rancangan pembangunan yang dilaksanakan, PDC turut memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur fizikal dan kemudahan logistik bagi meningkatkan ketersambungan serta keperluan pihak industri.

“Antaranya, hab perkhidmatan perniagaan global atau Global Business Services (GBS), Workers Village dan Hab Logistik.

“Kesemua kemudahan ini adalah untuk pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang sekali gus menyokong pelaksanaan pelbagai projek baharu seperti pembangunan bandar baharu ketiga Bandar Cassia yang meliputi perumahan, komersial, rekreasi dan industri,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2024 di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar serta ketua-ketua jabatan PDC.

Kon Yeow memberitahu bahawa dengan pengalaman selama lebih lima dekad, PDC bukan sahaja telah membina reputasi cemerlang malah telah membawa Pulau Pinang ke suatu tahap yang lebih membanggakan.

”Dalam konteks ekonomi global kini, Kerajaan Negeri menaruh harapan agar PDC terus melakar kejayaan serta mempelopori pembangunan negeri yang mampan dan lebih kondusif melalui pembangunan sosio-ekonomi yang lestari.

”Saya yakin bahawa PDC akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan negeri yang bergerak selari dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya sambil menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan membangunkan taman perindustrian ke-10 oleh agensi negeri itu.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan sinergi dan jalinan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama dalam aspek keperluan menyediakan infrastruktur yang lengkap serta efektif.

“Ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang mana telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada minggu lalu serta projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

“Semoga sinergi ini berterusan dan diperkukuhkan demi menempa lebih banyak pencapaian cemerlang pada masa hadapan,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR