Bkt. Bendera mampu jadi pusat pelancongan kekal alam semulajadi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BUKIT BENDERA – Pengunjung yang mengunjungi Bukit Bendera kini boleh menikmati keindahan panorama Bandaraya George Town dari geladak tinjau (viewing deck) baharu ‘The Skywalk’ yang terletak kira-kira 750 meter dari aras laut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek ‘The Skywalk’ bernilai RM1.4 juta dijangka menjadi ikon pelancongan negeri sekaligus menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke sini.

“Dari geladak tinjau ini, pengunjung dapat menikmati panaroma indah Bandaraya George Town dan Seberang Perai sambil menghirup udara nyaman Bukit Bendera

“Kerja-kerja membina ‘The Skywalk’ sejak setahun lalu ini merupakan sebahagian dari fasa dua projek menaiktaraf stesen atas Bukit Bendera yang membabitkan tiga peringkat kerja-kerja menaiktaraf termasuk mewujudkan sebuah taman.

“Begitu juga kerja-kerja penstabilan cerun, menaiktaraf laluan pejalan kaki dan kawasan takungan baru telah disiapkan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Geladak Tinjau Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng. Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Dato’ Ng Wee Kok dan Dr. Lawrence Khoo (Pengurus Besar PHC) turut sama pada majlis perasmian tersebut.

Menurut Guan Eng, kerja-kerja peringkat tiga seperti penyediaan lif, galeri muzium dan kafe dijangka siap menjelang akhir bulan Mac ini.

“Fasa satu merupakan kerja-kerja menaiktaraf stesen bawah dan laluan pejalan kaki bertingkat menuju ke Medan Selera Astaka yang telah siap pada 2013.

“Fasa tiga pula merangkumi pembinaan sebuah kafe sains teknologi, taman permainan kanak-kanak, gerai serbaneka, ATM (mesin juruwang automatik), pengurup wang dan kedai cenderamata.

“Semua kemudahan ini dibangunkan demi menampung peningkatan bilangan pelancong ke Bukit Bendera,” jelas beliau yang memberi jaminan bahawa pembangunan dilaksanakan tidak akan menjejaskan ekosistem, flora dan fauna di sini.

Malah, Guan Eng yakin bahawa Bukit Bendera mampu menjadi pusat pelancongan bukit popular dalam negara yang masih mengekalkan persekitaran semulajadi.