BATU UBAN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sekali lagi menganjurkan “Blank Canvas: Mural Art Series” bertemakan “Icons of Penang” di sekitar kawasan Batu Uban.
Program tersebut dianjurkan bersama antara Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban dan Penang Chinese Chamber of Commerce Young Entrepreneur Section (PCCCYES).
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memaklumkan inisiatif “Blank Canvas” merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah seliaan PYDC.
“Saya dengan berbesar hati ingin menyeru kepada belia yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang seni kreatif untuk menyertai program ini.
“Sejajar dengan visi Penang2030, aktiviti melukis mural merupakan salah satu program khidmat masyarakat bertujuan memantap dan memperkasakan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan serta berbakti kepada komuniti,” ujarnya semasa sidang media yang diadakan pada 16 Ogos 2022.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Timbalan Pengurus Besar PYDC, Ng Hooi Ting; Timbalan Pengerusi PCCCYES, Chris Tan, Ketua Hal Ehwal Pelajar IPK College Pulau Pinang, Tan Saw Yen serta Artis & Pengarah ME Sketch Enterprise, Azmi Hussin.
Tambah Lip Chee, beberapa jalan akan ditutup semasa projek tersebut dijalankan termasuklah jalan sedia ada di Jalan Sultan Azlan Shah iaitu dari arah Jalan Batu Uban sepanjang 90 meter (m) bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Notis pemberitahuan penutupan jalan bagi projek tersebut telah dikeluarkan melalui laman sosial rasmi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Oleh itu, diharapkan program ini bakal mengetengahkan seni jalanan yang diceriakan dengan hasil lukisan mural berwarna-warni dan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya lagi.
Hooi Ting yang hadir turut menyatakan bahawa projek mural tersebit disertai oleh 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar IPK College Pulau Pinang dan dibimbing oleh pelukis terkenal Azmi Hussin.
“Lukisan mural bersaiz 10 kaki x 11 kaki dengan panjang keseluruhan 100 m ini memaparkan potret tokoh-tokoh ternama kelahiran Pulau Pinang seperti Datuk Wira Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk David Arumugam di samping potret Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sedia ada.
“Selain itu, terdapat juga mercu tanda ikonik di Pulau Pinang khususnya di kawasan Batu Uban seperti Jambatan Pulau Pinang, Masjid Jamek Batu Uban dan Tapak Pesta Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI