Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
PULAU BETONG – Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah yang diadakan di Padang FC Pulau Betong baru-baru ini mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya daripada anak-anak muda tempatan.
Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, sebanyak 10 pasukan telah bersaing dalam merebut Piala Pusingan Tuan Haji Zulkiflee Md.Lazim pada 26 Februari lalu.
“Tujuan kita mengadakan pertandingan ini bukan semata-mata nak mengumpul anak-anak muda di Pulau Betong, tetapi juga untuk menggalakkan mereka aktif bersukan dan menjalani gaya hidup sihat yang sememangnya menjadi keutamaan saya sebagai PPK di sini”.
“Dengan adanya pertandingan sebegini, hubungan antara kepimpinan negeri dan pemuda dapat dirapatkan,” tambah beliau yang turut berhasrat menjadikan aktiviti sukan bola sepak ini sebagai aktiviti mingguan yang bukan sahaja mampu mengetengahkan pemain sedia ada, malah, juga mampu mencungkil minat bakat-bakat baru.
Dalam pada itu, pasukan Barcalona PB telah berjaya meraih juara dengan membawa pulang wang tunai RM400, medal berserta piala pusingan.
Manakala, pasukan Liverpool PB dan Arsenal PB masing-masing merangkul naib johan dan tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM300 dan RM200 berserta medal masing-masing.
Pasukan Harimau Muda PB pula memenangi hadiah saguhati bernilai RM100.
Hadiah telah disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan PAS Pulau Pinang, Zulkiflee Md. Lazim dan Pegawai Penyelaras Parlimen Balik Pulau, Jaafar Masha.