GEORGE TOWN – PiMap atau Penang Island Map, iaitu suatu inisiatif portal peta dalam talian untuk kegunaan jabatan-jabatan berkaitan di negeri Pulau Pinang kini boleh diakses secara terbuka oleh orang awam melalui pautan https://pimap.mbpp.gov.my/apps/.
Dalam nada berseloroh, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata insiatif pintar tersebut turut membolehkan orang awam menjejaki lokasi dusun durian dan restoran nasi kandar paling istimewa di sekitar bahagian pulau.
“PiMap sekarang dibuka kepada orang ramai untuk memudahkan carian maklumat secara pintar.
“Kalian turut boleh mencari dusun durian dan nasi kandar paling sedap,” jelasnya kepada Buletin Mutiara dekat Pusat Pengoperasian Pintar (IOC) Majlis Bandar Pulau Pinang (MBPP) di Tingkat 4, Komtar pada 12 Disember 2022.
Bercakap dalam sidang media sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa PiMap diwujudkan berdasarkan ‘Pelan Lima Tahun’ di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“(PiMap) merupakan suatu usaha di bawah Pelan Lima Tahun yang kita telah rancangkan sejak tahun 2015.
“(PiMap) ini merupakan suatu platform untuk menyediakan makluman asas kepada semua pelanggan kita seperti pelan petak dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBPP, Zuriani Mat Rasit yang ditemui kemudian memberitahu bahawa PiMAP diwujudkan berdasarkan Pelan Induk Geospatial MBPP 2017-2025.
“Kita mula bangunkan inisiatif pintar ini sejak tahun 2016, diguna pakai sejak 2017 dan mempunyai fungsi kemas kini dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi.
Sebelum dibuka kepada orang awam, beliau memberitahu bahawa PiMap merupakan suatu inisiatif untuk mewujudkan persekitaran yang mana semua jabatan di bawah MBPP boleh saling bekerjasama dan responsif kepada pengguna secara dalam talian.
Menurutnya lagi, Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Konservasi Warisan, Jabatan Kawalan Bangunan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran serta Jabatan Lanskap merupakan antara jabatan teknikal dalaman MBPP yang terlibat secara langsung dalam pembangunan insiatif pintar PiMap.
Setiausaha Bandaraya MBSP, Dato’ Ir. A. Rajenderan turut sertai sidang media tersebut.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB