GEORGE TOWN – Ketua Menteri mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM700 yang sepatutnya diberikan kepada kakitangan Kerajaan Negeri mulai tahun depan akan dibayar lebih awal pada bulan Disember depan, bersekali dengan bonus serupa yang telahpun diluluskan dalam Bajet 2014.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemberian bonus lebih awal diharap dapat menampung keperluan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun seperti kelengkapan sesi persekolahan anak-anak dan sebagainya.
“(Kerajaan Negeri) memutuskan untuk membayar bonus pada bulan Disember 2014 dan bukan pada Januari 2015 sepertimana keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Keseluruhannya, pemberian bonus Kerajaan Negeri kepada perkhidmatan awam dalam tahun 2014 ialah bersamaan satu bulan gaji, selepas setengah bulan duit raya (bonus telahpun) diberikan,” ujarnya semasa membentangkan Bajet 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, bonus RM300 turut akan diberikan kepada guru-guru dan penyelia Kelas Al-
Quran dan Fardhu Ain (KAFA) pada bulan Disember ini.
Tidak cukup dengan itu, beliau memberitahu, bonus RM200 turut diberikan kepada setiap guru sekolah tahfiz, sekolah pondok dan Tadika Islam (TADIS).
Menurut Guan Eng, pemberian bonus keseluruhannya menelan belanja RM5 juta.