Boria, seni warisan perlu dipertahankan

Omar Md. Hashim bersama-sama ahli kumpulan Boria Omara selepas mengadakan persembahan pentas.

MINAT yang mendalam terhadap persembahan boria sejak di bangku sekolah rendah membuatkan OMAR MD. HASHIM, 67, mengambil keputusan untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni itu sehingga kini.

Ekoran minat dan kecintaan terhadap seni warisan Pulau Pinang itu jugalah telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bagi tahun 2020.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis yang diadakan pada 3 Januari 2022.

Omar Md. Hashim.

Memulakan bicara, Omar memberitahu bahawa beliau bukan sahaja terlibat secara serius dalam persembahan boria menerusi kumpulan Boria Omara, malah turut bergiat aktif dalam seni ghazal parti.

Ghazal parti merupakan sebuah persembahan yang menggabungkan muzik, lagu, lawak serta tarian dan terkenal di utara Semenanjung terutamanya di negeri Pulau Pinang.

“Sebenarnya, saya memperoleh tiga anugerah daripada GTWHI bagi tahun 2020 iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, anugerah seni warisan untuk ghazal parti serta anugerah seni warisan untuk boria.

“Semua anugerah yang diterima ini secara tidak langsung telah meningkatkan lagi semangat saya untuk memperjuangkan seni warisan boria di negeri ini,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF dan jurugambar ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI serta ALISSALA THIAN ketika ditemui semasa wawancara khas dekat Komtar pada 13 Januari lalu.

Minat terhadap boria

Omar berkata, minat terhadap seni boria tercetus sejak beliau berumur 11 tahun selepas sering kali menyaksikan persembahan seni warisan itu di kawasan berhampiran rumahnya dekat Butterworth.

“Saya minat boria sejak sekolah rendah dan selalu buat persembahan di majlis sekolah dan pada ketika itu, saya kumpul kawan-kawan yang berminat seramai kira-kira 15 hingga 20 orang dan menubuhkan kumpulan sendiri.

Kumpulan Boria Omara banyak disertai oleh anak muda tempatan.

“Apabila persembahan kami mendapat sambutan, dari situ datang semangat dan alhamdulillah, semangat itu ada sampai sekarang.

“Kumpulan saya banyak masuk pertandingan dan menang, itulah kenangan paling manis dalam hidup saya,” ceritanya.

Tidak terhenti di situ kata Omar, beliau kemudiannya meneruskan persembahan boria sehingga ke peringkat sekolah menengah dan pernah menyertai pertandingan di peringkat negeri pada suatu ketika dahulu.

“Selepas tamat sekolah menengah, saya menyertai persatuan-persatuan seni sehinggalah saya diberikan tanggungjawab untuk mengetuai pasukan persembahan boria.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 1970-an saya terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti persembahan boria kerana bekerja sebagai wartawan sambilan di Kuala Lumpur.

“Selepas pulang ke Pulau Pinang pada awal 1990-an, barulah saya mula aktif kembali dalam persembahan seni boria sehingga sekarang,” katanya sambil menambah bahawa kini beliau sedang merakam sebuah rancangan berkaitan persembahan boria untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menubuhkan Boria Omara

Bercerita lanjut, Omar memberitahu bahawa pada awal pembabitannya dalam persembahan boria beliau telah menubuhkan banyak kumpulan dengan pelbagai nama.

Namun katanya, sejak 15 tahun lalu, beliau telah menubuhkan kumpulan Boria Omara yang dikenali ramai sehingga kini.

Omar Md. Hashim (kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri selepas majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat anjuran GTWHI di sini baru-baru ini.

“Lebih ratusan lagu telah kami hasilkan, dan kami juga pernah menerbitkan sebuah album yang mengandungi 14 lagu pada tahun 2016 yang mana semua lagu merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Boria Omara.

“Selain beberapa rancangan televisyen, persembahan paling besar kami pernah terlibat adalah semasa Bandaraya George Town dan Melaka diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008 dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Pada masa itu, kami membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.

“Selain itu, kami juga diberi peluang mengadakan persembahan dalam acara perasmian Asia Pacific Masters Games (APMG) Pulau Pinang pada tahun 2018 dekat Stadium Bandaraya yang turut disiarkan di kaca televisyen,” jelasnya lanjut.

Beliau berkata, kumpulan Boria Omara turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi penulisan rangkap karangan boria yang teramai iaitu melibatkan seramai 4,150 pemain.

Cabaran pandemik

Penularan pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 telah menyebabkan banyak pihak terpaksa menangguhkan beberapa aktiviti mereka terutamanya yang memerlukan bergerak secara berkumpulan.

Kumpulan Boria Omara juga tidak terkecuali daripada berdepan cabaran dalam tempoh itu lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 yang menyebabkan pelbagai aktiviti terpaksa dihentikan.

Boria Omara merupakan salah satu kumpulan yang terkenal di Pulau Pinang.

Menurut Omar, perkara pertama yang dirisaukan ketika bermulanya pandemik COVID-19 adalah semangat dalam kalangan kumpulannya luntur apabila tiada undangan persembahan pentas seperti sebelumnya.

“Apabila negara dilanda pandemik dan disusuli pelaksanaan PKP, kumpulan kami langsung tiada undangan persembahan pentas.

“Pada mulanya, termenung juga namun saya bangkit selepas memikirkan seni boria ini harus diteruskan yang mana saya mula memikirkan pelbagai alternatif baru untuk membolehkan seni boria dapat terus dipersembahkan kepada masyarakat.

“Perkara paling saya bimbang adalah semangat 20 ahli yang terdiri daripada anak muda berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun ini luntur kerana kami langsung tiada jemputan persembahan pentas.

“Namun, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu buat sesuatu agar seni boria ini kekal ‘hidup’ walaupun apa juga cabarannya selain terus memberikan semangat kepada ahli kumpulan agar jangan sesekali berputus asa,” ceritanya lanjut.

Justeru katanya, beliau mula mencari alternatif lain untuk terus memartabatkan seni boria kepada peminat terutamanya golongan muda antaranya melalui media sosial.

“Saya mencari jalan agar seni boria ini kekal ‘hidup’ kerana percaya peminat seni ini masih ada.

“Oleh itu, saya telah memuat naik persembahan Kumpulan Boria Omara di media sosial antaranya Facebook, Instagram, blog Omara TV Dok Mai dan YouTube Omar Hashim Omara.

Gabungan elemen muzik, sketsa, nyanyian dan tarian merupaka keunikan seni boria.

“Sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila jumlah penonton yang melayari kesemua platform di media sosial bertambah,” katanya.

Pernah bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi selama 18 tahun di ibu kota, Omar berkata bahawa selain memuat naik video persembahan boria, beliau juga menggunakan cara dalam talian untuk berbincang serta berlatih dengan ahli kumpulannya.

“Sepanjang hampir dua tahun pandemik melanda, memang kumpulan kami tidak dapat berjumpa secara bersemuka untuk sesi Latihan dan kami hanya berlatih melalui dalam talian sahaja.

“Saya sendiri selaku ketua kumpulan akan mengarang lagu, pantun-pantun baharu untuk diberikan kepada ahli agar mereka dapat berlatih walaupun bukan secara bersemuka.

“Cara tersebut membuatkan ahli kumpulan kami sentiasa bersemangat dan tidak putus asa sehingga hari ini dalam memperjuangkan seni boria,” ulasnya.

Masa depan boria

Ditanya apakah harapan beliau terhadap masa depan persembahan boria khususnya di Pulau Pinang, Omar menyatakan bahawa beliau yakin seni warisan berkaitan tidak akan ‘mati’ sekiranya ahli kumpulan aktif mendedahkan masyarakat mengenai seni budaya itu menerusi media sosial.

“Harapan saya adalah untuk melihat boria kekal sebagai seni negeri Pulau Pinang dan akan terus diwarisi oleh generasi akan datang kerana kita tidak mahu ia hanya dijadikan simpanan di muzium atau internet sahaja.

“Oleh itu, saya berharap agar pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Warisan Negara dapat terus mempromosikan persembahan boria kepada masyarakat.

Antara kostum yang pernah digayakan sewaktu mengadakan persembahan.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu memainkan peranan untuk memperkenalkan seni warisan ini di peringkat sekolah kerana masih ada murid-murid yang tidak tahu apa itu boria,” ujarnya penuh harapan.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada generasi muda hari ini untuk terus pertahankan boria supaya seni warisan tersebut tidak hilang dari bumi Pulau Mutiara khasnya dan dunia amnya.

“Jangan sampai suatu hari nanti boria hanya boleh didapati di muzium atau internet sahaja.

“Apa yang kita mahu adalah seni warisan ini diteruskan melalui persembahan nyata.

“Jadi, saya minta kepada masyarakat terutamanya golongan remaja agar terus memberikan kerjasama untuk pertahankan budaya dan warisan kita ini.

“Bersama-samalah kita menaikkan kembali seni budaya ini terutamanya di negeri Pulau Pinang,” ujarnya mengakhiri bicara.

Bagi yang berminat untuk menyertai boria boleh hubungi Omar Md. Hashim di talian 017 – 443 0091 atau layari laman Facebook (Omar Hashim atau Omara Omar Hashim); OmaraTV Dok Mai; saluran Youtube (Omar Hashim Omara) serta Instagram (Omara.OmarHashim).