Borong baju sekolah RM5 sehelai, bantu pelajar kurang mampu

0f5a8440 e5af 41b6 a77d d5ec726ea081 GAVRI Bai (kanan) bersama-sama seorang individu lain, di sini, sedang menyaring pakaian seragam sekolah ‘RM5 sehelai’ berkualiti dalam jumlah yang banyak, untuk disumbangkan kepada pelajar dari keluarga B40 dan penghuni sebuah rumah pelindungan kanak-kanak dekat Lembah Klang, Selangor menjelang buka sekolah nanti.

PERSIAPAN anak sebelum buka sekolah merupakan antara waktu yang penting dan genting buat ibu bapa terutamanya bagi isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

Nilai RM150 Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada setiap pelajar yang layak tanpa mengira pendapatan isi rumah keluarga sebenarnya tidak cukup.

Kalau nak beli seluar trek, baju sukan serta set buku tulis lain mengikut pakej yang disediakan oleh pihak koperasi sekolah pun melibatkan perbelanjaan mencecah RM120, maka, tidak dapat tidak memang ibu bapa perlu menampung baki perbelanjaan kira-kira RM100 bagi seorang anak untuk membeli pakaian seragam sekolah lengkap di mana-mana pasar raya.

Namun, di Jalan Telaga Air dekat Butterworth ketika ini ada peniaga yang berhati mulia membuat jualan penghabisan stok pakaian seragam sekolah dengan harga ‘tak masuk akal’.

3e6f25c6 5c6c 4ead bec9 8f43740a57e6
SUASANA pelanggan yang mengambil kesempatan membeli pakaian sekolah berkualiti ‘RM5 sehelai’ di sini pada 10 pagi tadi.

Tudung sekolah kain premium dijual pada harga RM1 sehelai; baju sekolah, seluar sekolah dan seluar trek masing-masing dijual pada harga RM5 sehelai; sementara harga beg sekolah pula serendah RM15.

5b18447c bb8c 4fe1 8e3a 03c7c0c3cfc9
GABVI Bai

GAVRI BAI, 69, antara penduduk lokal yang ditemui di khemah sementara berhadapan dengan gedung kain langsir jenama Yo MKM, dengan ditemani suami, begitu tekun menyaring seragam sekolah yang mungkin untuk keperluan beberapa orang cucunya sempena musim persekolahan yang bermula pada 17 Februari 2024 nanti.

Beliau kemudian ditemui wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS, memberitahu bahawa beliau ke sini bukan untuk membeli baju seragam sekolah untuk sekalian cucunya.

“Bagi saya pemilik Yo MKM dan anaknya, yang mengusahakan penjualan pakaian seragam sekolah pada harga yang terlalu murah ini adalah sangat baik.

“Saya terpanggil datang ke sini pun kerana mahu membeli pakaian seragam sekolah dalam jumlah yang banyak, untuk disumbangkan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, serta para penghuni sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Lembah Klang, Selangor.

“Tidak salah sekiranya kami memanjangkan kebaikan dengan membeli baju seragam sekolah dalam jumlah yang banyak untuk disumbangkan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan.

“Disebabkan kemurnian hati peniaga berkenaan menjual pakaian-pakaian seragam sekolah pada harga yang begitu murah… supaya ibu bapa ada pilihan terbaik untuk membuat persiapan awal persekolahan anak-anak,” jelasnya semasa ditemui di sini pada 6 Februari 2025.

94ab9c7c 58b3 4c50 a879 bc816216454b
HASSAN Yaccob (kiri) dengan ditemani cucu yang membeli beberapa pasang baju seragam sekolah untuk sekalian cucunya turut memuji peniaga berkenaan kerana menawarkan jualan baju sekolah ‘RM5 sehelai’ di sini tadi.

Seorang pesara kerajaan, HASSAN YACCOB, 78, dari Nibong Tebal, memberitahu bahawa beliau ke sini untuk membeli beberapa seragam sekolah lengkap untuk cucu-cucunya.

“Selepas jualan baju sekolah RM5 sehelai viral di media sosial, saya dah datang ke sini dah, cuma waktu itu tidak jumpa tudung yang sesuai untuk cucu.

“Awal pagi ini, saya datang lagi ke sini lagi untuk membeli beberapa pasang pakaian sekolah untuk kesemua empat cucu saya.

“Nilai RM1 untuk sehelai tudung, mana boleh dapat di pasar raya mini yang lain.

“Ibu bapa dan cucu-cucu saya masih bercuti negeri Sabah, sementara ada tawaran jualan semurah ini, saya sendiri datang membeli untuk cucu-cucu saya,” jelasnya sambil memuji pengusaha jualan murah baju sekolah RM5 berkenaan.

d9b70d86 c22b 4925 8e74 03ab98ae0fcf
‘KAK Liza’ mengacu tuduh sekolah ‘RM1 sehelai’ buat anaknya di sini tadi.

Kak Liza’ atau nama sebenarnya NORLIZAWATI YUSOFF, 43, pula memberitahu bahawa persiapan awal persekolahan pada kali ini adalah berbaloi kerana dapat membeli pakaian seragam sekolah berkualiti dengan harga ‘tak masuk akal’.

“Selasa malam baru-baru ini saya dah datang untuk membeli pakaian sekolah anak.

“Memang sengaja beli lebih sebab perbelanjaan tidak sampai RM50 pun (yang mana) kak beli tiga pasang baju untuk anak lelaki; kain sekolah dan KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain) untuk anak perempuan, kak beli lima pasang; juga baju seragam sekolah anak keenam, semuanya tak sampai RM50.

“Biasanya sebelum ini kak beli baju di sebuah pasar raya mini lain sebab harga dah begitu murah, tetapi apabila viral baju sekolah RM5 di sini, tak jadi beli di pasar raya mini yang selalu menjadi tempat berbelanja sebelum sekolah buka,” katanya lagi.

31ed7e74 e51b 4bb0 bd0d a7c9bbd00202
S. Selvam

S. SELVAM, 40, memberitahu bahawa ini kali pertama beliau membuat jualan murah pakaian seragam sekolah pada harga RM5 sehelai, demi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka.

“Semua stok pakaian sekolah ini saya dapat daripada sebuah kilang yang sudah tutup.

“Sebab ini fikir waktu ini musim sekolah nak kembali buka, saya memberanikan diri membeli stok pakaian dari kilang itu dan jual pada harga RM5 sehelai – sambil berniaga, dapat bantu pelanggan membuat persiapan sekolah anak-anak mereka.

“Ini, kali pertama saya buat perniagaan baju sekolah RM5 sehelai; tidak pernah saya buat sebelum ini.

“Margin keuntungan memang kecil; kalau beli 10 helai pun baru RM50 sahaja.

“Saya sanggup jual pada harga yang terlalu murah untuk pelanggan-pelanggan setia selama ini.

“Saya memang berniaga di pasar-pasar siang di Utara Semenanjung Malaysia, dan telah ada pelanggan setia; jadi apabila buat tawaran baju sekolah harga RM5 di sini, dapat sokongan mereka (dengan) hasil jualan kasar tiap-tiap hari masih ada antara RM5,000 hingga RM8,000,” jelasnya lagi.

16f03190 a99e 4947 8be2 f6d357f515d1
S. Selvam bersama-sama ayahnya, M. Sithrai (kanan) yang juga merupakan pemilik gedung kain langsir jenama Yo MKM dekat Jalan Telaga Air, Butterworth di sini.

Dalam perkembangan lain, Selvam turut merakamkan penghargaan kepada ayahnya, M. Sithrai, 66, iaitu pemilik gedung kain langsir jenama Yo MKM kerana menyediakan ruang depan lot komersial untuk dijadikan tapak sementara jual baju sekolah RM5 di sini.

“Saya memang peniaga kecil di pasar-pasar siang di merata tempat sekitar Utara (Semenanjung Malaysia) ini.

“Ayah juga, pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad akan keluar berniaga di pasar siang seperti saya juga.

“Jadi, kami memang ada pelanggan setia kerana menjualkan macam-macam pakaian pada harga murah, sebelum ini.

“Pada kesempatan ini, ingin saya mengucapkan terima kasih juga kepada ayah yang memberi dorongan serta membenarkan saya membuka khemah sementara untuk jual pakaian sekolah RM5 sehelai, sempena musim kembali ke sekolah tidak lama lagi,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara atas liputan di sini pada pagi ini.