Buah sawa Kampung Selamat paling sedap – Pak Mad

PAK Mad memotong buah ciku jualannya untuk dirasai pelanggan.
PAK Mad memotong buah ciku jualannya untuk dirasai pelanggan.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGI penulis, tiada nostalgia manis yang tersemai tentang buah ataupun pokok ciku.

Pokok besar yang tumbuh di halaman rumah (di kampung) bukan sahaja memaksa penulis untuk membersihkan daun-daun yang luruh, malah apabila dimakan buahnya, ia adalah amat kelat!

Malah, yang dibeli di pasaran pun amat susah untuk mendapat buah manis dan tidak berulat.

Lazimnya, faktor-faktor tersebut menyebabkan penulis ‘berputus asa’ dan tidak mengambil risiko untuk membeli buah ciku walaupun teringin hendak makan.

Tambahan pula, harganya kini adalah amat mahal.

Baru-baru ini, selepas sesi wawancara yang dijalankan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara berhenti untuk makan tengahari di sebuah kedai laksa.

Di hadapan premis tersebut, terdapat sebuah gerai menjual ciku yang nampak agak elok buahnya.

Penulis menghampiri gerai tersebut dan menyapa pemiliknya.

BUAH ciku yang sedia untuk dipasarkan.
BUAH ciku yang sedia untuk dipasarkan.

“Encik, buah ni elok ke?”

Sambil memandang ke arah penulis, beliau memilih sebiji buah ciku lalu dipotong untuk dirasa.

Cubalah sendiri,” jawabnya selamba.

Wahhh, sedap dan manisnya! Detik hati penulis.

Difahamkan, pemilik gerai yang lebih dikenali sebagai Pak Mad telah 13 tahun terlibat dalam perniagaan jual dan beli buah ciku atau bahasa tempatan, buah sawa.

Pak Mad atau nama sebenar, Ahmad Saad, 58, memberitahu, berdasarkan pengalamannya, buah ciku di Kampung Selamat adalah yang paling manis dan sedap.

Kampung Selamat umpama ‘Kampung Buah Sawa’.

Di sinilah paling banyak buah sawa (lebih biasa dengan panggilan buah sawa) kerana dapat jual deret dalam tempoh tiga bulan untuk setiap musim. Buah di sini juga paling sedap dan manis,” katanya memulakan perbualan pada hari berkenaan.

Pak Mad memberitahu, rasa buah ciku kelat adalah disebabkan buahnya tidak masak, manakala yang keras, sebab ia jatuh.

RUPA bentuk buah ciku yang siap dipotong.
RUPA bentuk buah ciku yang siap dipotong.

Buah sawa manja dan ulat-ulat memang biasa. Kalau ia jatuh atas rumput pun, sudah tidak boleh makan sebab ia akan jadi keras.

Justeru, perlu galah berjaring untuk memetiknya satu satu.

Selepas buah dipetik, saya akan cuci setiap satu dengan air biasa agar ia kelihatan licin dan bersih apabila dijual nanti.

Selepas itu, ia diperam selama dua malam sebelum dipasarkan,” jelasnya sambil mengakui bahawa prosesnya adalah amat rumit dan ‘cerewet’.

Mengulas lanjut, penglibatan Pak Mad dalam bidang perniagaan tersebut adalah bermula apabila beliau melihat buah-buah ciku di rumahnya luruh terbiar.

Ada tiga pokok sawa di depan rumah, buahnya tidak habis dimakan dan dibiarkan macam itu sahaja.

Daripada dibiarkan macam tuh, saya cuba jual dan tidak sangka ia laku. Permintaan memang ada!

Dari situ, saya mula ambil yang orang lain untuk dijual juga. Saya pernah buat cara ‘tolak’, tapi tidak ‘padan’ dengan kerja yang perlu dibuat, maka saya putuskan untuk jual secara runcit sahaja di simpang empat Klinik Kampung Selamat,” ujar beliau yang tidak menafikan khasiat buah ciku kepada kesihatan terutamanya dalam kalangan pesakit gastrik.

Mengulas lanjut, Pak Mad menyatakan bahawa dalam setahun, musim jualan buah ciku adalah kira-kira tujuh bulan kecuali bulan bukan musim sekitar Jun, Julai dan Ogos.

Ketika musim (ciku) berbuah, dalam satu kampung terdapat empat gerai dekat-dekat yang menjual ia.

Bagaimanapun, persaingan ini tidak menjejaskan perniagaan mana-mana pihak, sebab permintaan dan pelanggan sentiasa ada.

Setiap hari, saya buka gerai pada jam 11 pagi, jual kira-kira 30 kilogram buah sawa, habis!

Walaupun terdapat pelbagai jenis (buah) sawa di pasaran kini seperti sawa mega dan sawa madu, saya hanya jual yang buah lama (tempatan) sahaja,” kata beliau.

Bagi perancangan masa depan, Pak Mad ingin mengekalkan perniagaannya kini.

POKOK dan buah ciku.
POKOK dan buah ciku.

Walaupun empat anak saya tidak minat untuk meneruskan perniagaan ini, saya akan terus usahakan.

Saya memang nampak potensinya sebab kini pun, selain (buah sawa) dimakan terus, ada juga dibuat kek, jus dan jeli,” jelasnya sambil menyatakan bahawa tempoh ketahanan buah sawa dijual beliau adalah selama tiga hari.

INFO :

No. Tel. : 013 – 442 0510

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);