Buat kerja sehabis baik, jangan berkira andai bekerja lebih masa – Mohd. Faidrol

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

 

MOHD. FAIDROL MOHD. RADZI, 34, mula berkhidmatdengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak 2010. Paling mencabar, Pengarah Pelesenan tersebut memberitahu, adalah ketika menangani penjajaan tanpa lesen sah di Taman Pelangi beberapa tahun lalu.

“Alhamdulil lah… secara langsung saya tidak pernah menerima ugutan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Pesara MPSP 2017 & Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 di Dewan Milenium Kepala Batas, 21 Mac lalu.

Dalam majlis tahunan tersebut, Mohd. Faidrol merupakan antara 221 penerima APC.

“Saya mula bertugas di MPSP pada Mac 2010 dan ini kali pertama saya mendapat APC,” jelasnya.

Atas pengiktirafan yang diterima, Mohd. Faidrol merakamkan penghargaan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Yang di- Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif serta Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud.

Menurut Mohd. Faidrol, beliau bertuah kerana mempunyai pasukan kerja yang begitu dedikasi.

“Jabatan Perlesenan penting di sisi MPSP kerana kami menyumbang hasil bukan cukai daripada sumber bayaran pelesenan.

“Isu penjaja tanpa lesen salah satu cabaran di jabatan, tetapi kami senantiasa berusaha untuk mengurangkan birokrasi dengan pelanggan.

“Memang saya sendiri sedang mencari jalan untuk mengurangkan lagi birokrasi dengan pelanggan, harapan saya suatu hari nanti semua lesen boleh terus dicetak dari rumah, sebagaimana perkhidmatan MyEG yang boleh memperbaharui lesen secara online.

“Masih dalam perancangan lagi… apabila kita mempermudahkan pelanggan mendapatkan lesen, kita (MPSP) kena kuatkan sistem pemantauan kita supaya semua data premis berlesen dan tidak berlesen di hujung jari,” katanya. Mohd. Faidrol menganggap APC yang diterima adalah hadiah buat isteri dan tiga anaknya.

“Bagi saya, yang penting buat kerja sehabis baik, naik taraf pengetahuan dan pengalaman serta jangan berkira andai bekerja lebih masa, jika ada rezeki anak dan isteri, Allah akan simpan untuk kita,” jelasnya sambil melahirkan rasa syukur.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima yang hanya mahu dikenali sebagai HAJI BAHARIM, 56, memberitahu bahawa beliau akan bersara pada 27 Julai ini.

Dalam nada sebak bercampur gembira, beliau menyatakan bahawa begitu gembira menjadi sebahagian “keluarga besar” MPSP.

“Saya mula bekerja dari bawah, sebagai kerani pada 16 November 1981, 1991 menjadi pembantu tadbir di (Jabatan) Khidmat Pengurusan.

“Oktober 2008, saya dilantik menjadi Kerani Kanan di Jabatan Kejuruteraan dan menjadi Ketua Kerani Kanan di Jabatan Perbendaharaan bermula November 2011,” jelasnya.

Haji Baharim turut berkongsi pengalaman manis menyediakan sistem carian fail secara offline menggunakan sistem label fail.

“Bayangkan satu-satu jabatan itu berapa banyak fail jika MPSP ini adalah PBT (pihak berkuasa tempatan) paling besar di Malaysia.

“Sebagai kerani yang menguruskan fail secara offline, kalau tiada sistem susunan fail secara sistematik, memang susah nak dicari.

“Atas pengalaman bekerja dari bawah, saya dan kawan-kawan berjaya mendapatkan suatu kaedah mencari fail, dengan menggunakan sistem marking tape berwarna… contoh kuning untuk Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan hijau, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Sistem ini disediakan pada tahun 1989 dan saya bangga kerana sampai sekarang sumbangan saya dan kawan-kawan masih digunakan di MPSP,” ujarnya.

Hari-hari terakhir Haji Baharim sebagai penjawat awam di MPSP, beliau melahirkan rasa yakin tahap pengurusan pentadbiran dan mutu pelanggan akan bertambah baik dengan kehadiran bakat baharu menyertai PBT berkenaan kelak.