Buka puasa babit bukan Islam serlahkan rahmat beragama – Mufti

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berpendapat bahawa majlis berbuka puasa dihadiri bukan Islam bakal menyemarakkan lagi keindahan Islam sebagai rahmat di seluruh alam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan segelintir pihak terhadap amalan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng meraikan umat Islam berbuka puasa di masjid.

Katanya, penentangan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana ia adalah suatu bentuk amalan memperkenalkan keindahan Islam kepada penganut agama lain.

“Kita anggap itu sebagai satu bentuk memperkenalkan keindahan Islam, semoga dengan cara tersebut mereka (bukan Islam) akan bersimpati dengan Islam dan mereka tahu apa sebab kita (Islam) perlu buat begitu dan begini.

“Kita selalu dengar ada pihak bukan Islam yang menentang usaha-usaha keIslaman seperti ingin merealisasikan ajaran Islam di dalam negara. Sebab kadangkala tidak melibatkan mereka (bukan Islam) pun… tapi orang Islam sahaja, puncanya kerana mereka tidak faham.

“Ini yang kita perlu fahamkan mereka, moga dengan cara ini (berbuka bersama-sama), ia boleh menjalinkan silaturahim sesama kita serta toleransi dengan harapan mereka tidak akan menentang usaha-usaha kita melaksanakan Islam di Malaysia,” ulasnya ketika ditemui di perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada 7 Jun lalu.

Terdahulu, Wan Salim meluangkan masa menziarahi pasangan adik-beradik, Khairiyah Alisha Mohd. Khosim, 10, dan adiknya, Khaira Amni Mohd. Khosim, 1 tahun 5 bulan, yang sekelip mata hilang tempat bergantung apabila tragedi kemalangan yang berlaku 28 April lalu di Sungai
Bakap meragut nyawa kedua-dua ibu bapa mereka.

Pada kesempatan tersebut, Wan Salim turut menyampaikan hamper dan duit raya kepada kanak-kanak berkenaan iaitu hasil sumbangan daripada kakitangan Jabatan Mufti Negeri
Pulau Pinang dan sebahagian jabatan-jabatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP).

Mengulas lanjut, Wan Salim berpendapat bahawa penentangan tersebut mungkin disebabkan ketakutan dan kebimbangan mereka.

“Jadi, kitalah yang perlu fahamkan mereka, ajak mereka (bukan Islam) bersama-sama untuk berbuka puasa,” jelasnya lanjut.