GEORGE TOWN – Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia, Masjid Melayu Lebuh Acheh menganjurkan Majlis Buka Puasa Muhibah yang bertujuan mengimarahkan amalan berbuka puasa bersama-sama masyarakat lain yang berbeza agama.
Pengerusi Masjid Melayu Lebuh Acheh merangkap bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata majlis berkenaan diadakan bagi merapatkan silaturrahim sesama masyarakat yang berlainan latar belakang agama.
“Seperti yang sedia maklum, majlis berbuka sebegini merupakan acara tahunan di masjid ini sejak lima tahun lalu dan pihak masjid sentiasa memberi fokus terhadap masyarakat yang bukan Islam.
“Secara tidak langsung, mereka lebih mengenali dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai agama Islam serta dapat menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai di masjid.
“Di samping itu, masjid ini juga terkenal antara lokasi ‘hotspot’ pelancong yang datang berkunjung sehingga membolehkan masjid ini mendapat Anugerah Cemerlang Warisan 100 tahun Pulau Pinang daripada Kerajaan Negeri.
“Majlis berbuka ini sangat ringkas dan padat, secara tidak langsung ia dapat membuktikan agama Islam sukakan keamanan, suasana seperti ini sangat bermakna apabila berpeluang mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat,” katanya.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, ketua-ketua persatuan dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Difahamkan, kira-kira lebih 100 individu hadir memeriahkan majlis berbuka yang diadakan dekat Masjid Melayu Lebuh Acheh sambil disajikan dengan juadah lauk pauk istimewa serta menu wajib iaitu bubur lambuk.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI