SEBERANG Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara baru-baru ini telahpun diisytiharkan antara empat daerah di Semenanjung Malaysia yang mengalami cuaca panas pada tahap berjaga-jaga selepas mencatat suhu harian antara 35 hingga 37 darjah celcius.
Semasa diminta mengulas kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media semalam (13 Februari 2024) antara lain berkata pihaknya akan terus memantau paras lembangan Sungai Muda dalam kawasan sempadan Pulau Pinang yang mana ia membekalkan 80 peratus air mentah bagi memenuhi keperluan asasi sekalian penduduk serta sektor pertanian dan penternakan berkaitan di negeri ini.
Pada awal pagi tadi (14 Februari 2024) wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORARIS berkesempatan membuat tinjauan lapangan di Kampung Terus dan kawasan-kawasan sekitarnya yang dikatakan antara salah satu ‘jelapang padi’ negeri Pulau Pinang.
Adakah cuaca panas pada tahap satu ketika ini yang mungkin membawa pada musim kemarau akan menjejaskan pengeluaran hasil padi di sini?
Meninjau kawasan ‘jelapang padi’ Kampung Terus, didapati tali air konkrit sedia ada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah SPT dekat Kampung Padang Ibu masih membekalkan air ke petak sawah di sini.
Petak-petak sawah dekat Kampung Padang Ibu hingga ke Kampung Permatang Ara di sini, masih berair; membayangkan mungkin akan mengambil sedikit masa lagi sebelum proses tuaian hasil padi.
‘Ah Hong’ atau nama sebenarnya TAN LAM HONG, 58, berkata, sepatutnya cuaca panas sebegini adalah sesuai untuk menuai hasil padi, tetapi beliau terpaksa menunggu kira-kira tiga minggu lagi dari sekarang.
“Kalau ikut jadual penanaman, sepatutnya sebelum bulan Februari, tetapi proses serak benih padi pun kita mula lambat pada hujung tahun lepas disebabkan isu gangguan bekalan stok benih padi berkualiti pada bulan November tahun lepas (2023).
“Selain masalah gangguan bekalan stok benih padi pada hujung tahun lepas, proses permulaan serak padi yang tidak seragam mengikut jadual pengairan yang dicadangkan JPS mengakibatkan hujung musim ini ada petak sawah dah mula proses tuaian dan masih ada petak sawah belum capai tempoh 110 hari lagi (untuk tuaian).
“Kalau pihak berkenaan dapat memastikan tiada masalah gangguan bekalan benih padi berkualiti dengan harga yang stabil pada hujung tahun lepas, mungkin masa menuai boleh diseragamkan sebelum bulan Februari (2024) lagi.
“Cuaca panas sebegini bermula sejak pertengahan bulan Januari (2024) adalah sangat sesuai untuk kerja-kerja memugar dan meratakan (paras) tanah sawah, sebelum proses serak bagi musim baharu dimulakan,” jelasnya.
Lebih 10 tahun Lam Hong memberitahu beliau mengusahakan sendiri tanaman padi seluas empat relung atau 2.844 ekar di sini.
Selama tempoh itu, selain selain faktor cuaca yang kian panas belakangan ini, beliau menyatakan rasa bimbang akan hasil tuaian padi pada musim ini mungkin terjejas juga dek serangan makhluk perosak seperti ulat pengorek batang padi.
“Musim ini, saya jangka hasil mungkin terjejas kira-kira 20 peratus sebab gangguan ‘ulat batang’,” katanya lagi sambil memberitahu bahawa perubahan iklim bukan satu-satunya faktor penjejas hasil pertanian padi.
Mengerjakan sawah sejak lebih 40 tahun lepas, BAHARUDDIN ABDULLAH pula memberitahu sekalian para petani di sini lebih bimbang akan risiko serangan makhluk perosak berbanding perubahan cuaca yang kian panas belakangan ini.
“Pada pertengahan tahun 2016 dahulu, kita di sini pernah menangguhkan aktiviti penanaman padi buat sementara waktu, sehinggalah musim kemarau panjang El Nino berakhir pada waktu itu.
“Musim menyerak (benih padi) sebenarnya mengikut jadual pengairan yang dicadangkan oleh JPS Daerah.
“Jadi, perubahan cuaca ini tidaklah membimbangkan sangat berbanding risiko serangan makhluk perosak yang boleh dikatakan terpaksa dihadapi pada setiap musim,” jelasnya.
Baharudin memberitahu bahawa sekalian ketua kelompok pesawah (KKP) lokal telahpun mengadakan perbincangan lanjut bersama-sama Jurutera JPS Daerah SPT, Mohammad Rodzi Abdullah berhubung aspek pengairan pada musim baharu nanti serta isu-isu berkaitan perubahan cuaca yang kian panas belakangan ini.
Hasil sesi temu bincang di Kampung Terus pada minggu lepas, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan proses melepaskan air sempena musim baharu bermula pada 15 April 2024 iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Kita harap, yang mana terlewat buat proses serak pada musim ini dapat menyempurnakan kerja-kerja memugar, meratakan serta merawat tanah bendang masing-masing sebelum 15 April 2024.
“Ini kerana, kita nak cuba menyeragamkan kembali proses penanaman mengikut jadual pengairan JPJ dengan mengambil kira faktor perubahan cuaca (kian panas sekarang ini), moga-moga aktiviti pertanian tidak lagi tertangguh macam waktu kemarau panjang ‘El Nino’ dulu, atas sebab penduduk lebih memerlukan air berbanding sektor pertanian berkaitan.
“Semasa cuaca kian panas seperti sekarang, pengairan bersepadu dan seragam perlu diberikan perhatian, tidak perlu lagi berperingkat-peringkat atas sebab ada lagi pesawah masih tak habis menuai padi,” ujarnya lagi.
Bercerita lanjut, Baharuddin memberitahu bahawa pihak berkenaan wajar mengambil langkah proaktif bagi memastikan serangan makhluk perosak seperti ulat pengorek batang padi dan tikus di ‘jelapang padi’ Kampung Terus pada musim akan datang dapat diatasi.
“Sebenarnya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kamajuan Pertanian Malaysia) telah ada cadangan kajian bagaimana untuk menangani risiko serangan makhluk perosak ini, tetapi pihak berkenaan perlu turun padang apabila dijemput untuk bertemu dengan pesawah di sini, baru tahu apa ‘masalah’ kami.
“Aktiviti pembaikbakaan telahpun disyorkan MARDI bagi menghadapi serangan ‘’ulat batang’, tinggal lagi pesawah patut dibekalkan dengan kepelbagaian rintang dalam penanaman mereka, tetapi antara ‘masalah’ yang telahpun kami hadapi sejak awal musim ini adalah gangguan bekalan benih padi untuk memulakan penanaman pada bulan Oktober (2023).
“Untuk musim akan datang ini (bermula pada pertengahan bulan April 2024), benih elok ada atau tidak ada pun, tidak ada pihak berwajib di atas sana yang berani dan mahu ke depan, supaya ‘masalah’ lama tidak berulang.
“Awal musim ini (November 2023), ada dalam kalangan petani dapat ‘benih tipu’ (iaitu) sama ada benih lama yang tak berkualiti atau benih yang terdedah pada virus…seperti BPB (Hawar Bulir Bakteria).
“Serangan makhluk perosak, gangguan bekalan (stok benih padi), harga benih meningkat, tiadanya langkah proaktif daripada pihak atas berwajib, saya jangka hasil tuaian pada musim ini merosot sampai 70 peratus.
“Pun begitu, apabila tengok perubahan cuaca panas sekarang, suatu kesyukuran buat saya sendiri adalah pada musim akan datang mungkin tidak lagi perlu menghadapi ‘masalah tanah jerlus’ seperti beberapa tahun sebelum ini iaitu keadaan tanah yang berair sampai payah traktor nak turun ke petak sawah untuk melaksanakan kerja-kerja memugar, meratakan, merawat tanah (sebelum proses menyerak benih padi dilakukan),” jelasnya lagi.
Menurut ZAKARIA RAMLI, 60-an, ‘masalah’ serangan tikus sawah padi boleh ditangani sekiranya kerja-kerja memugar, meratakan dan memulihkan tanah sawah dilaksanakan secara selari atau linear.
“Macam sekarang, kita dapat lihat ada kawasan belum mula menuai dan ada kawasan tengah dipugar dan sebagainya.
“Akibatnya, tikus padi di kawasan petak sawah yang nak dipugar, akan berpindah ke kawasan yang masih ada padi, masalah sama tidak akan selesai.
“Kalau kerja-kerja memugar tanah dilakukan secara selari, tikus ini tak boleh pergi mana dan lebih mudah ditangani.
“Macam saya kata sebelum ini, nak ikut buku (jadual penanaman) yang dicadangkan Jabatan Pertanian Negeri dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, bukan mudah sebab pada awal musim ini ada macam-macam ‘masalah’ dihadapi oleh pesawah…antaranya gangguan bekalan (benih padi).
“Bab cuaca panas, saya tak kisah sangat sebab bila air nak dilepaskan ke tali air di sini, JPS akan beritahu, dan kita dah boleh mula kerja ‘menyerak’ (benih) selepas itu.
“Nak ‘menyerak’ benih kena bergantung pada bila air dilepaskan (ke petak sawah)….sebab itu penting kena pantau betul-betul paras air di lembangan sungai kita dan di Pintu Air Mengkuang Mak Sulung, masa cuaca panas ini.
“Sebelum ini, ‘serak’ dua kali dah, tak pulang modal sebab serangan tikus…untuk dua relung dulu boleh dua tan padi, kini mungkin satu tan,” katanya.
Difahamkan, harga lantai belian padi beras putih di Semenjung Malaysia ditetapkan sebanyak RM1,300 per tan metrik yang berkuat kuasa 15 Februari tahun ini.
Mengulas lanjut, harga lantai itu sebenarnya belum mengambil kira 20 peratus pemutuan beratan padi – padi basah, hampas dan sebagainya – semasa urus niaga pesawah dengan pengilang.
“Kalau harga lantai RM1,300, pengilang akan ambil atas dari harga lantai itu, biasanya dalam RM1,350. Itu, belum kira 20 peratus (pemutuan beratan) padi yang dipotong dari berat asal padi yang kita ‘tolak’ (jual).
“Katakanlah 4 tan atau 4,000 kg (kilogram) ‘ditolak’, bayaran selepas ditolak beratan 20 peratus (pemutuan padi) atau 800 kg, jadi 800kg ini kalau ikut harga lantai pun nilainya sebanyak RM1,040,” jelasnya sambil mengesyor potongan 20 peratus pemutuan beratan padi wajar dikurangkan lagi bagi memastikan kelompok pesawah dapat pulangan setimpal.
Selain cakna isu cuaca kian panas belakangan ini, bagi MOHAMMAD RIDZUAN ABU BAKAR, 43, satu lagi ‘masalah’ malar segar yang perlu ditangani oleh pihak berwajib sebelum musim baharu nanti adalah menstabilkan harga beli padi.
“Pada awal musim ini juga, ‘masalah’ yang terpaksa dihadapi adalah harga benih tak stabil, dari harga RM36 satu beg boleh melambung jadi antara RM50 hingga RM60 satu beg.
“Patut pada era data raya yang serba canggih sekarang ini, takkanlah kementerian berkaitan masih tidak ada keupayaan memonopoli benih padi yang ada kepelbagaian rintang seperti disyor oleh MARDI.
“Agensi kerajaan berkaitan perlu memonopoli benih padi pada peringkat pengeluaran dan pengagihan, baru boleh menstabilkan harga komoditi itu (yang mana) sekali gus menangani gangguan bekalan stok benih padi seperti pada Oktober tahun lepas.
“Semasa Dr. Norlela Ariffin (mantan ADUN Penanti) menjaga portfolio Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dulu, Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan senantiasa dikerahkan untuk mendapatkan maklum balas lanjut serta ‘masalah’ daripada pesawah di sekitar ‘jelapang padi’ Kampung Terus; sepatutnya perkara sebegitu dipergiatkan lagi sejak awal musim ini bermula.
“Nak habis musim padi ini, banyak bab lagi sebenarnya saya fikir selain isu cuaca panas macam yang MetMalaysia umumkan baru-baru ini (iaitu) hasil padi tak menjadi, tapi para pesawah akan menempuh bulan puasa Ramadan dan musim kembali ke sekolah… semuanya memerlukan duit ringgit tapi padi ‘tak menjadi,” ujarnya sambil mengharapkan Kerajaan Negeri memberikan insentif ‘one-off’ dalam kadar yang wajar.
Walau bagaimanapun, beliau memuji langkah proaktif pihak IADA Pulau Pinang dan JPS Daerah mengadakan sesi temu bincang dengan para pesawah lokal bagi meningkatkan lagi hasil padi negeri.
“Di kawasan sawah ini telah ada tali air konkrit yang sedia ada diselia oleh JPS, pegawai IADA ada berbincang dengan kita dan kita cadangkan supaya diwujudkan ‘parit gila’ iaitu parit tanah sementara yang digunakan untuk mempercepat proses nyah air dari petak sawah… mereka sambut baik cadangan itu.
“Begitu juga JPS Daerah, apabila ada langkah proaktif JD (Jurutera Daerah) mereka mengadakan sesi temu bincang, dapatlah kita mencadangkan penggunaan pam di Mengkuang Mak Sulung nanti – macam beberapa tahun lepas, pernah guna sampai empat pam – demi memastikan paras air yang dibekalkan ke kawasan pertanian tidak terganggu,” katanya lagi.
Seusai tinjauan lapangan tadi, Buletin Mutiara berkesempatan mendapatkan reaksi langsung daripada Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, FAHMI ZAINOL yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.
Di Komtar, Fahmi memberitahu bahawa pihaknya telahpun mengerahkan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklum balas lanjut berhubung isu-isu berbangkit di seluruh negeri ini termasuk sekitar Kampung Terus dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.
“Kampung Terus baru mulai tuai (hasil padi) sejak minggu lepas dan pemerhatian sebelum (musim) menuai memang terdapat serangan tikus agak ketara bagi musim ini.
“Begitu juga di beberapa kawasan lain di Permatang Pasir, Bukit Merah, Permatang Nibong dan lain-lain tempat.
“Kawalan telah dibuat sejak awal penanaman tetapi tidak menyeluruh oleh semua petani,” jelasnya.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa cadangan penggunaan racun tikus untuk tahun 2024 adalah hasil aduan daripada pesawah akan keberkesanan racun DSP digaul bersama benih padi yang kurang berkesan.
Tambahnya lagi, Pejabat Pertanian Daerah SPT akan membuat kolaborasi siasatan dengan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) untuk laporan berwajib tersebut.
Difahamkan, ‘jelapang padi’ sekitar Kampung Terus ini terdiri daripada 17 unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Di Kampung Terus sahaja ada ‘jelapang padi’ seluas 65 relung, di Guar Jering lebih besar kira-kira 215 relung, yang mana tidak termasuk kawasan sekitar yang lain seperti Padang Tembusu, Bukit Berangan, Permatang Buluh dan Labu Banting.