Bukit Bendera kini rizab biosfera dunia UNESCO – Ketua Menteri

KERETAPI kabel menjadi antara identiti pusat peranginan tanah tinggi di Bukit Bendera, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 September 2021 jam 1 petang waktu Paris mengisytiharkan Bukit Bendera sebagai kawasan Rizab Biosfera Pulau Pinang.

(Dari kiri) WONG Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera), Ketua Menteri dan Cheok Lay Leng selepas acara telesidang bersama-sama pengamal media sempena Pemahsyuran UNESCO Terhadap Rizab Biosfera Bukit Bendera di KOMTAR pada tengah hari tadi.

Sambil merakamkan penghargaan kepada petubuhan dunia itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penyenaraian rizab biosfera Bukit Bendera tersebut merupakan usaha serta koloborasi pelbagai pihak seperti The Habitat, ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM), agensi negeri dan Persekutuan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sendiri.

“(Pemasyhuran Bukit Bendera sebagai) Rizab Biosfera Pulau Pinang merupakan penghargaan kedua oleh UNESCO kepada negeri ini (selepas George Town dimahsyurkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008).

“Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) sangat berterima kasih dan berasa bangga dengan kejayaan hasil usaha bersama selama lima tahun (sejak 2016) ini,” jelasnya dalam acara telesidang bersama-sama media khas bersempena Program Pemasyhuran UNESCO Terhadap Rizab Biosfera Bukit Bendera dekat Komtar di sini pada 16 September 2021.

Di samping itu, Kon Yeow berharap dengan pemasyhuran badan dunia itu akan menjadi batu loncatan buat Pulau Pinang bagi merancakkan lagi agenda pembangunan lestari antara penduduk dan keindahan alam sekitar sebagaimana digagaskan dalam Visi Penang2030.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga mengharapkan semangat baru sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini (16 September), dalam usaha kita memulihara dan memelihara flora, fauna, kehijuan alam semulajadi dan warisan budaya yang tidak ternilai bagi Pulau Pinang dan penduduknya,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Dalam sesi soal jawab bersama-sama pengamal media, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berkaitan bagi kerja-kerja memulihara dan memelihara Bukit Bendera sebagai tapak biosfera negeri dan dunia UNESCO.

Turut berucap, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Dato’ Cheok Lay Leng dan Pengarah Creative Quest Sdn. Bhd. (CQSB) Dato’ Harry Cockrell iaitu firma pengurusan bagi The Habitat di puncak kawasan pelancongan tanah tinggi Bukit Bendera.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN