Buku ‘Durian Malaysia’ tonjol keistimewaan lebih 300 jenis durian dalam negara

GEORGE TOWN – Peminat durian di seluruh dunia khususnya di Pulau Pinang kini boleh mendapatkan maklumat lengkap mengenai ‘raja buah’ itu melalui buku Durian Malaysia hasil karya ‘pemburu’ durian, Aidi Rosli Khalim.

Buku tersebut yang mengambil masa selama 42 bulan untuk disiapkan telah dilancarkan secara rasminya oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di sini semalam.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan gimik pelancaran buku Durian Malaysia.

Semasa berucap, Aidi berkata bahawa buku tersebut mengandungi maklumat terperinci mengenai lebih 300 jenis dan klon durian yang terdapat dalam negara termasuk 42 durian popular di Pulau Pinang.

“Melalui buku ini, kita dapat memburu lebih 300 jenis durian dalam negara yang menjanjikan rasa yang unik, kepuasan mendalam serta kelazatan buah durian itu sendiri.

“Malah, di Pulau Pinang sendiri terdapat 42 jenis durian dikenal pasti termasuk dari Sungai Bakap, Simpang Ampat, Balik Pulau, Sungai Ara, Relau, Pondok Upeh serta beberapa lagi kawasan yang lain.

“Daripada analisa kami, pekebun durian di Pulau Pinang mempunyai rahsia dan formula tersendiri dalam memastikan durian mereka sentiasa menjadi rebutan walaupun harga agak tinggi.

“Contohnya, mereka menanam pokok-pokok rempah seperti buah pala, bunga cengkih, serai wangi dan lain-lain lagi,” katanya.

Menikmati buah durian terbaik yang ada dalam negara.

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Presiden Penang Tourist Centre Berhad, Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.

Justeru, beliau berharap agar melalui penerbitan buku tersebut akan dapat menarik tumpuan penggemar-penggemar durian di seluruh dunia untuk datang ke negara ini dan mencuba pelbagai jenis serta klon yang ada.

“Usaha ini juga akan membantu industri durian negara kita berkembang biak dengan lebih baik dan menemui jenis durian yang baharu.

“Ini kerana sekiranya pekebun durian dapat mendaftarkan 300 pokok baru dalam setahun, maka dalam jangka masa 10 tahun akan datang kita aka nada 300 klon durian baru,” katanya lagi.

Mengulas mengenai peracangan masa depan, Aidi berkata beliau kini dalam usaha untuk menerbitkan edisi kedua buku Durian Malaysia.

Aidi Rosli Khalim atau lebih dikenali sebagai Durian Solo Hunter bersama buku terbitan beliau.

“Kita juga dalam perancangan untuk menerbitkan buku ‘Coffee Table Book’ yang menyeluruh mengenai buah dan pokok durian yang sukar dikesan selain masakan berasaskan durian serta industri durian.

“Lebih dari itu, adalah menjadi impian dan harapan Durian Solo Hunter World untuk mewujudkan satu ladang durian yang mana kita akan menanam sebanyak 400 jenis durian klon yang ada dalam dunia.

“Ladang yang bakal diberi nama World Durian Resort Centre diyakini mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara serta dapat merasai keunikan durian yang terdapat dalam negara,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Syed Mohamad Aidid berkata bahawa penerbitan buku Durian Malaysia mampu menaikkan nama negara termasuk negeri Pulau Pinang di mata dunia.

 

“Sebagaimana yang kita tahu di Pulau Pinang ini sememangnya terkenal dengan ‘raja segala buah’ da menjadi salah satu pusat pengeluaran durian terbaik di negara ini.

“Antara spesies durian yang terkenal di negeri ini ialah ‘horlor’, ‘musang king’, ‘ochee’, ‘udang merah’, ‘kucing tidur’ dan banyak lagi,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan naskhah Durian Malaysia boleh hubungi 012-310 9222 atau layari Facebook Durian Solo Hunter atau emailkan pertanyaan di [email protected].

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT