Butterworth Arena jadi pusat konvensyen terbesar utara Semenanjung, mula beroperasi 15 November

RUANG legar Butterworth Arena atau Pusat Pameran Konvensyen Budaya dan Seni Antarabangsa Pulau Pinang (PiECCA) yang gah dan sesuai dijadikan sebahagian tempat pameran peringkat antarabangsa di sini.

BAGAN JERMAL – Dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM59.5 juta, agensinya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjaya menyiapkan Butterworth Arena atau Pusat Pameran Konvensyen Budaya dan Seni Antarabangsa Pulau Pinang (PiECCA) yang bakal mula beroperasi pada 15 November ini.

KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Island LandsCAP Properties Group telah dipilih sebagai firma pengendali semua fasiliti di sini dalam tempoh kontrak 10+5 tahun dengan jangkaan pulangan hasil keseluruhan kira-kira RM11 juta kepada Kerajaan Negeri.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga berhak memanfaatkan semua fasiliti di PiECCA dengan nilai sewaan maksimum RM600,000 setahun.

“Sebagai pemilik bangunan ini (Kerajaan Negeri melalui CMI) diharap turut mendapat manfaat dalam bentuk penggunaan fasiliti dengan nilai sewaan RM600,000 setahun,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap mantan Ahli Parlimen Tanjong dalam Majlis Lawatan Rasmi dan Penyerahan Surat Tawaran Menguruskan PiECCA di sini pada 27 Oktober 2022.

ACARA gimik penyerahan surat tawaran mengurus PiECCA kepada Pengerusi Eksekutif Island LandCAP Properties Group, Datuk Oon Weng Boon (lima dari kiri) di sini tadi.

Exco Kerja Raya dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari, Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar dan Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Bharathi turut menyaksikan majlis penyerahan surat tawaran mengurus PiECCA kepada Pengerusi Eksekutif Island LandCAP Properties Group, Datuk Oon Weng Boon.

Turut serta, ADUN Air Putih merangkap mantan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa kerja-kerja pemajuan kompleks dewan bankuet paling besar di utara Semenanjung Malaysia itu bermula pada bulan April 2017 dan siap pada September baru-baru ini dengan mendapat kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC).

Kompleks bangunan dua tingkat tersebut seluas adalah 17,828 meter persegi.

Pada Februari 2022, pentadbiran CMI membuat pelawaan untuk melantik operator bagi menguruskan PiECCA melalui kaedah request for proposal (RFP).

Daripada 17 syarikat yang menyertai taklimat RFP, hanya empat syarikat membuat proses bidaan dan Island LandsCAP Properties Group dipilih berdasarkan kriteria teknikal lengkap dengan cadangan kreatif bagi tujuan pengoperasian PiECCA atau Butterworth Arena.

Ween Boon dalam ucapannya memberitahu bahawa pada satu-satu masa, PiECCA atau Butterworth Arena boleh memuatkan maksimum 8,100 tetamu di tiga dewan bankuet yang boleh dibuka menjadi satu dewan besar.

Itu, menurut beliau, tidak termasuk empat kamar acara di tingkat satu PiECCA yang boleh memuatkan maksimum 420 tetamu pada satu-satu masa.

“PiECCA atau Butterworth Arena ini sangat sesuai untuk organisasi antarabangsa, kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi, syarikat multinasional dan firma korporat menganjurkan mesyuarat, dewan persidangan, pameran, jamuan, konvokesyen, majlis anugerah, konsert dan acara kebudayaan.

“PiECCA atau Butterworth Arena yang secara rasminya mula beroperasi pada 15 November 2022, acara terdekat adalah majlis perkahwinan yang dijadual berlangsung pada 26 November 2022,” ulasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR