‘Bypass’ ganti paip bocor Jalan Permatang Pauh

Admin
bel 3400

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang membina ‘bypass’ bagi menggantikan bahagian paip bocor yang kini menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan sekitar Permatang Pauh, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa paip yang bocor tersebut akan digantikan dengan ‘bypass’ seperti yang dilaksanakan semasa insiden di Sungai Perai.

“Ia akan mengambil tempoh masa yang panjang dan bakal memberi kesan khususnya terhadap kawasan yang tinggi dan yang memerlukan penghantaran tangki bekalan air di kawasan terjejas.

“(Dan) untuk melakukan kerja pembaikan, injap-injap yang berkaitan perlu ditutup supaya sambungan boleh dilakukan, pihak PBAPP juga telah memaklumkan kawasan-kawasan yang bakal terkesan.

“Kita menjangkakan dalam tempoh 24 jam untuk memulihkan bekalan air, tetapi dijangka akan mengambil tempoh yang lebih pendek…sebaik sahaja sambungan selesai, maka air dapat disalurkan kepada kawasan-kawasan yang terbabit,” jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP memberitahu bahawa insiden kebocoran paip berkaitan adalah di luar jangkaan pihak ketiga yang sedang menjalankan kerja-kerja bersebelahan dan telah menyebabkan pair tersebut bocor sehingga memerlukan pihak PBAPP melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera.

“Paip tersebut menyalurkan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke sebahagian kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Maka, kebocoran telah dikesan paras sedalam 15 meter (m) dan sukar untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam situasi berkenaan,” ulasnya.

Difahamkan, sebelum ini penggantian bahagian saluran paip utama di Permatang Pauh telah rosak oleh kontraktor syarikat utiliti lain baru-baru ini.

PBAPP turut memaklumkan gangguan bekalan air berjadual di kawasan SPT dan Seberang Perai Selatan (SPS) bermula 4 sehingga 5 Oktober 2024.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI