Cabar diri di The Gravityz

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI

CABAR DIRI… Pernahkah anda berjalan di tebing setinggi 239 meter (m) dengan hanya bergantung kepada seutas tali untuk tidak melayang jatuh ke bumi?

Jika anda sudah cukup berani menyahutcabaran sebenar, naiklah ke puncak bangunan paling tinggi di Pulau Pinang, iaitu Kompleks Tun Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Komtar.

Pada puncak bangunan ini iaitu di Tingkat 65 terdapat tarikan baru, digelar sebagai The Gravityz, secara rasmi mula dibuka menjelang Tahun Baru Cina baru-baru ini.Pengunjung boleh meniti luar cermin bangunan Tingkat 65, Komtar, berswafoto bersama-sama kenalan sambil menikmati pemandangan 360 darjah seluruh rantau ini.

Ketika berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembukaan The Gravityz memberi satu lagi nilai tambah kepada The TOP serta Komtar yang menjadi mercu tanda Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan dunia di rantau ini.

“Dengan adanya The Gravityz ini, anda tidak perlu lagi ke luar negara, seperti ke Macau Sky Walk, rakyat Malaysia boleh datang ke Pulau Pinang, penduduk Asia yang melawat Malaysia juga diharap tertarik untuk ke negeri ini.

“The Gravityz menjadi satu lagi nilai tambah kepada Komtar, selain The TOP yang dibuka di sini,” ujarnya yang juga Exco Hal
Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam padaMajlis Perasmian Pembukaan The Gravityz di sini baru-baru ini.

Hampir semua Exco Kerajaan NegeriPakatan Harapan Pulau Pinang menyertai majlis perasmian pembukaan tersebut. Pengarah Eksekutif AGC Aventure Hub Sdn. Bhd., J. Hong Low menyatakan bahawa ‘flying fox zipline’ dan ‘high-rope course’ merupakan antara segmen menarik dan mencabar di The Gravityz.

Di sini jua, menurut Hong Low, para pengunjung boleh merasai sendiri pelbagai segmen mencabar lain antaranya ‘A Great Bridge’, ‘Z-Wire’, ‘G-Rocky’ dan ‘High Bench’.

“Sebagaimana slogan yang kami tonjolkan iaitu Menjangkaui Keyakinan (Beyond Confidence), hasrat kami di The Gravityz adalah untuk mengajak para pengunjung dan peserta daripada zon selesa kepada tahap keyakinan baru yang jitu untuk dicapai,” jelasnya.

Difahamkan, The Gravityz diilhamkan daripada segmen mencabar dari puncak Macau Sky Walk, lalu disesuaikan dengan konteks komersialisasi Komtar, termasuk ruang legar pelbagai The TOP di sini.

The Gravityz dapat menampung sejumlah 96 orang dengan maksimum pada satu-satu masa untuk meniti laluan tinggi mencabar sepanjang 90m di luar bangunan Komtar adalah seramai enam orang.

“Segala peralatan dan bahan yang digunakan adalah berkualiti tinggi kerana kami meletakkan keselamatan orang awam
sebagai keutamaan kami.

“Selalunya peserta akan menghabiskan masa sekitar 30 minit untuk mengikuti sesi taklimat keselamatan, sebelum dilepaskan untuk menempuhi pengalaman paling mencabar di The Gravityz, dengan pengawasan pegawai keselamatan terlatih,” ujar Hong Low. .

“Kalau cuaca buruk, aktiviti di sini akan ditangguhkan serta-merta, kerana ini soal keselamatan semua pihak.

“Pada masa hadapan, kami berhasrat untuk menambah lagi pelbagai halangan yang lebih mencabar, mengembangkan trek sedia ada serta menambah ‘bungee jumping’ di sini,” katanya.

Tiket masuk dijual antara RM79 hingga RM399, dengan warga negeri Pulau Pinang mendapat harga istimewa serendah RM79, semua pengunjung turut akan diberi baju-t dan kelebihan masuk ke ruang komersial terpilih di The TOP.