GEORGE TOWN – Pelbagai cabaran perlu dilalui seiring tanggungjawab berat yang digalas demi memastikan Pulau Pinang terus menjadi sebuah negeri maju di samping mencapai kedudukan ekonomi jitu serta cemerlang dalam bidang pendidikan serta yang berkaitan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri 2022 anjuran Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil (PKWLT) dekat Dewan Bangunan Kesatuan Muslim Bersatu (UMA) di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, banyak cabaran yang dihadapi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan setelah hampir 15 tahun memerintah.
“Dalam membawa pentadbiran ini terus ke hadapan, di bawah manifesto lalu iaitu sebanyak 68 janji, kemajuannya akan diumumkan pada bulan Mei nanti iaitu sejauh mana yang telah dicapai,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Pengerusi PKWLT, Mohamed Asri Seen Mohamed; Timbalan Pengerusi PKWLT, Mohamed Sherif Ibrahim Abdul Karim; Penaung PKWLT, Mohamed Azmin Seeni Mohamed dan Setiausaha Kehormat PKWLT, Noor Mohamed SPK Mohd Abdullah.
Mengulas mengenai penganjuran berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau dan barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya amat menghargai peranan serta usaha diterajui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini termasuk PKWLT dalam bersama-sama menjayakan visi Penang2030.
“Penganjuran kali kelima majlis ini diharap dapat memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim antara hadirin dan hadirat semua serta kekal memberi sokongan antara satu sama lain,” jelasnya sambil menyempurnakan pemberian bantuan Aidilfitri kepada 100 penerima orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang dijemput khas.
Tambah Kon Yeow, setelah hampir dua tahun rakan-rakan Muslim di sini tidak bertemu dan berbuka puasa bersama, pihak penganjur pastinya terharu serta berbangga dengan sokongan yang diberikan oleh para sahabat bukan sahaja di Pulau Pinang, malahan serata negeri berhubung majlis yang dianjurkan hari ini.
“Serentak itu, sokongan yang ditonjolkan juga secara tidak langsung mendorong kerja-kerja mulia diteruskan dan masyarakat India Muslim di sini dapat mencapai serta mengecapi prestasi lebih baik pada aspek pembangunan sosioekonomi untuk tahun-tahun mendatang,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING