TAMAN Botani bukanlah asing lagi bagi rakyat negeri Pulau Pinang yang terkenal dengan lokasi riadah sambil menghirup udara segar dan dikelilingi suasana hijau.
Namun fungsinya sebagai taman penyelidikan dan kajian masih kurang difahami oleh sesetengah individu hingga meletakkan pandangan bahawa Taman Botani perlu dipenuhi dengan bunga-bungaan sahaja.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD berkunjung ke Taman Botani untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan di taman ikonik Pulau Pinang itu.
Kehadiran kami disambut oleh Pegawai Pertanian Jabatan Botani Negeri Pulau Pinang, RIDWAN OTHMAN.
Jelasnya, Taman Botani beroperasi dengan kekuatan 90 kakitangan yang dibahagikan tugasan seperti penyelenggaraan dan pemuliharaan mengikut kawasan.
“Taman Botani secara semula jadinya perlu disesuaikan dengan pembangunan atau pembaharuan agar ia tidak mengganggu ekosistem sedia ada.
“Jadi kita cuba adunkan dengan ekosistem itu melalui jeni-jenis pokok, serangga dan fauna supaya ekosistem di sini tidak terlalu diganggu.
“Untuk orang awam, kita sediakan lapan pameran khas meliputi rumah orkid, taman bromeliad (keluarga nanas), begonia (keladi), orchidarium under story, fern house, rumah perdana (koleksi pokok), taman herba sun rockery dan fragrant garden,” ujar beliau ketika melayani tinjauan kami ke Taman Botani.
Namun begitu kata Ridwan, pengoperasian taman-taman berkenaan agak terhad ekoran cabaran yang didepani oleh pihak Taman Botani seperti kecurian pokok, ancaman monyet, tupai dan sebagainya.
“Memang kita berdepan kes-kes seperti itu, banyak modus operandi seperti mencuri anak-anak pokok, monyet rosakkan bunga atau tumbuhan dimakan tupai, jadi kita sesuaikan dengan masa, lagi pun fungsi utama Taman Botani adalah kajian dan penyelidikan.
“Kalau perbuatan mencuri pula macam-macam cara digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini seperti meletakkannya di dalam payung, dalam baju dan macam-macam lagi, tidak kurang juga yang petik buah sampai habis,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kepelbagaian spesies tumbuhan yang ada di Taman Botani adalah dibawa dari seluruh Malaysia.
“Kita tanam dan buat kajian di sini, ada yang sesuai dan ada yang tidak, perkara ini juga menjadi cabaran biodiversiti di sini,” maklum beliau lagi.
Di rumah orkid pula, Buletin Mutiara sempat menemu ramah penyelenggara rumah tersebut, FAZLI ABBAS.
Fazli memberitahu bahawa rumah terbabit menempatkan kira-kira 30 jenis orkid meliputi hibrid (kacukan) dan orkid liar.
Kunjungan Buletin Mutiara agak bernasib baik kerana orkid liar terbesar di Malaysia iaitu orkid harimau sedang mekar dalam musimnya dari Julai hingga September.
“Banyak orang salah faham dan datang ke sini untuk melihat orkid bersaiz besar seperti orkid hibrid.
“Orkid jenis itu memang ada di sini, cuma di Taman Botani ini, kita lebih fokus kepada orkid liar yang mana lebih sukar dijumpai dan hanya boleh didapati dari hutan.
“Dari sebesar-besar orkid harimau, kita juga tempatkan orkid bersaiz kurang satu milimeter (mm), antaranya termasuklah orkid vanila dan bermacam-macam lagi.
“Sebenarnya pokok orkid ada dua jenis tetapi kita mahu didik orang ramai belajar berkenaan orkid liar.
“Orkid dikatakan mempunyai 24,000 spesies di seluruh dunia merangkumi 10 peratus keluarga bunga dalam dunia dengan sifat yang berbeza-beza,” ulas Fazli lagi.
Hasil tinjaun Buletin Mutiara juga mendapati kakitangan Taman Botani sangat berdedikasi dan prihatin menjaga kelestarian, kebersihan serta kesihatan pokok termasuk aspek keselamatan.
Kehadiran kami turut disapa oleh petugas SHAHRIL HAFIZ ISMAIL yang sedang melakukan penyelenggaraan kolam teratai di hadapan pintu masuk Taman Botani.
“Kami dalam proses menanam semula pokok teratai ini atau nama saintifiknya Victonia Amazonica yang pernah viral sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, kami berdepan cabaran tersendiri apabila orang awam tidak bertanggungjawab melepaskan ikan ke kolam teratai ini.
“Ikan-ikan ini akan merosakkan pokok dengan cara memakan akar dan daun, jadi macam mana pokok-pokok hendak hidup.
“Adakalanya kami perlu letakkan jaring untuk mengelakkan ikan masuk.
“Pernah satu masa, kami tangkap hampir ribuan ikan di kawasan ini untuk memastikan kolam ini bebas daripada ikan sekali gus memberi peluang kepada pokok teratai menjadi matang,” tegasnya yang memulakan tugas seawal pukul 8 pagi besama dengan dua orang lagi sahabatnya, AZLAN ABDUL HAMID dan MUHAMAD HILMI OSMAN.
Menyentuh mengenai aduan, Shahril Hafiz akui turut berdepan situasi sama, namun mereka turut bertugas di seluruh kawasan taman yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang awam.
“Kami buat kerja di merata-rata kawasan dalam taman ini termasuk tempat-tempat yang agak terserok, jadi kadang-kadang orang tidak nampak dan menuduh kami tidak buat kerja.
“Kawasan ini luas, banyak kawasan yang mungkin orang ramai tidak perasan, kalau kami tidak bertugas mana mungkin kawasan ini dapat dijaga dengan baik dan kemas seperti yang dapat dilihat sekarang ini.
“Kakitangan bertugas tanpa mengira keadaan, sebaliknya perlu mengikut rutin harian yang ditetapkan,” katanya sebelum mengakiri bicara.
Walaupun dalam cuaca hujan lebat yang turun sejak pagi tadi, namun Shahril Hafiz dan rakan-rakannya dilihat terus tekun menyiapkan kerja masing-masing.