BERTAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganjurkan program Kempen Cabaran Zero Waste @Bazar Ramadan di Seberang Perai dalam usaha mendidik mesyarakat tentang kepentingan kitar semula.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Azhar Arshad berkata program yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) adalah melibatkan 40 orang pelajar sekolah menengah.
“Seramai 40 orang pelajar terlibat dalam program ini iaitu 20 pelajar dari Sekolah Menengah Convent Butterworth dan 20 orang lagi dari Sekolah Menengah Kampung Kastam.
“Melalui program ini, pelajar diminta mengambil gambar di mana-mana bazar Ramadan dan memuat naik ke media social masing-masing dengan #GREWZEROWASTERAMADHAN.
“Setiap gambar yang diambil mestilah memfokuskan isu plastic sekali guna dan sifar sisa, seterusnya menghantar gambar yang ingin dipertandingkan melalui Google Form kepada pihak penganjur,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan dekat Bazar Ramadan Bandar Putra Bertam di sini semalam.
Azhar berkata, tempoh masa yang diberikan kepada para pelajar untuk merakam gambar adalah bermula pada 12 Mac sehingga 9 April 2024 manakala sesi penilaian (90 peratus) akan diadakan pada 10 April sehingga 15 April 2024.
“Kriteria yang diambil kira adalah kandungan gambar, Kemahiran penyuntingan, kreativiti dan juga tanda suka di media social sebanyak 10 peratus.
“Pengumuman pemenang akan diadakan melalui media social (Facebook GREW) pada 30 April 2024,” katanya sambil berharap agar program tersebut juga dapat memupuk masyarakat kea rah sifar sisa makanan.
Difahamkan, hadiah utama yang disediakan adalah berupa hadiah tunai melalui Touch ‘n Go e-Wallet bernilai RM100 kepada 10 pemenang dan RM50 kepada 30 pemenang saguhati.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD