Cadang MOVAK diteruskan hingga populasi kanak-kanak layak lengkap terima vaksin

Admin
JAGDEEP Singh Deo bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri lain mengiringi Ismail Abd. Mutalib memantau proses pemberian vaksin dalam sebuah bas yang ditukar guna untuk program MOVAK 2.0 di perkarangan Dewan Sri Pinang di sini tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 23 Ogos lepas di seluruh negara termasuk di negeri Pulau Pinang dijadualkan berakhir pada hari ini.

Sehubungan itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada pagi ini berharap agar program tersebut dapat diteruskan sehingga populasi kanak-kanak yang layak menerima vaksin mencapai 100 peratus di Pulau Pinang.

Cadangan itu, menurutnya lagi, adalah penting memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka mula dibuka secara berperingkat mulai bulan Oktober ini.

“Saya percaya (MOVAK) ini adalah program yang bagus, jadi jangan kita hentikan program ini, wajar diteruskan untuk kategori-kategori yang lain.

“(Contohnya), sekolah dah nak buka, kalau masih ada 5,000 kanak-kanak perlu vaksin, kita (Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan) duduk serta berbincang bagaimana program (MOVAK) ini boleh diteruskan untuk kategori kanak-kanak.

“Kalau boleh, program (MOVAK) ini yang sepatutnya berakhir pada hari ini, diteruskan sehingga semua populasi kanak-kanak yang layak divaksin mendapatkan dos lengkap (dua suntikan vaksin berkaitan),” jelasnya dalam Majlis Perasmian Penutupan MOVAK 2.0 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pada 3 Oktober 2021.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu balasan surat rasmi bertarikh 28 September 2020 antara lain memaklumkan bersetuju untuk memberi dua projek perumahan rakyat masing-masing di bahagian Pulau dan Seberang Perai.

“Sudah pasti saya akan berbincang dengan beliau (Reezal Merican) untuk cadangan program pembaharuan semula skim (perumahan rakyat).

“Terima kasih atas ‘pemberian’ dua projek PPR (Program Perumahan Rakyat) iaitu satu di bahagian Pulau dan satu di bahagian Seberang Perai, tetapi di Pulau Pinang kita ada lima daerah, jadi kita akan minta tiga lagi (projek PPR),” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri kerana meluluskan peruntukan penyelenggaraan perumahan sebanyak RM17.5 juta untuk Pulau Pinang.

Berucap selepas itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Ismail Abd. Mutalib berkata, beliau sendiri percaya bahawa pada peringkat Menteri sendiri memang bercadang untuk mempertimbang syor bagi meneruskan program MOVAK sehingga populasi yang layak divaksin segera lengkap dua suntikan dos berkaitan.

Sebelum pada itu, Jagdeep diiringi Ismail memantau pelaksanaan program penutupan MOVAK 2.0 dan jerayawara di Dewan Sri Pinang.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga ADUN Penanti; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud merupakan antara pemimpin negeri yang menyertai program tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad; Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Bandar KPKT, Datuk Muhammad Musa; serta wakil-wakil agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan yang berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING